FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia

(KPDNHEP) tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga ikan di pasaran dan hanya mengetahuinya melalui laporan media.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya menyeru orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya ada pihak atau peniaga menaikkan harga ikan.

Katanya, aduan ini bertujuan membolehkan pihaknya membuat siasatan termasuk mengenakan tindakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap peniaga yang menaikkan harga.

"Perubahan angin Monsun Timur Laut yang mengakibatkan laut bergelora ketika ini menyukarkan nelayan mendaratkan ikan, sekali gus mempengaruhi bekalan dan harga ikan di pasaran," katanya selepas menghadiri Majlis Aspirasi Tahun Baharu 2022 Anggota Pentadbiran KPDNHEP di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Rosol Wahid dan Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Sebelum ini media melaporkan harga ikan di Kedah melambung hampir tiga kali ganda, sejak dua minggu lalu.

Ikan temenung atau ikan kembung yang menjadi menu harian penduduk didapati dijual antara RM13 hingga RM17 sekilogram, berbanding hanya RM5 sekilogram awal bulan lalu.

Alexander berkata, aduan daripada orang ramai penting supaya siasatan dapat dijalankan bagi mengetahui punca kenaikan harga itu berlaku.

Menurutnya, aduan boleh dibuat menerusi beberapa saluran disediakan pihaknya dan orang ramai boleh memanfaatkannya untuk kepentingan bersama.

Katanya, pihaknya memahami harga ikan naik di beberapa tempat terutamanya ketika berhadapan musim tengkujuh kerana tangkapan berkurangan.

"Perkara ini bukannya baharu bagi kita...ini selalu kita alami dan kita ada pengalaman menangani perkara ini...kalau ada aduan, kita buat siasatan dan pastikan apa puncanya.

"Sebab itu kita mesti buat siasatan dulu...mengapa harga itu naik...kalau naik kerana tiada unsur pencatutan naik biasa mungkin kekurangan bekalan itu kita anggap sebagai yang berlaku secara normal,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 2:13 PM