ANGGOTA penguat kuasa melakukan pemeriksaan di pasar. FOTO Ihsan KPDNHEP.
ANGGOTA penguat kuasa melakukan pemeriksaan di pasar. FOTO Ihsan KPDNHEP.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Peningkatan harga makanan ternakan terdiri dari soya dan jagung yang kebanyakan diimport dari Argentina dan Brazil menjadi punca harga ayam naik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, keadaan itu menjejaskan harga ayam dalam rantaian bekalan dan peringkat ladang ke pemborong, peruncit dan pengguna.

"Kami menerima 15 aduan berkaitan harga ayam, daging, ikan dan sayuran di seluruh negara sejak puasa bermula, namun tiada aduan diterima berkaitan kekurangan bekalan ke atas semua barangan terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Alexander berkata, KPDNHEP mengambil beberapa pendekatan dalam usaha mengatasi kenaikan harga barang yang boleh memberi kesan kepada kos sara hidup masyarakat.

Katanya, antara pendekatan yang dilakukan adalah melakukan beberapa operasi serta pemeriksaan bagi melakukan pemantauan dan kawalan harga barang.

ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO Bernama.
ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO Bernama.

"KPDNHEP melaksanakan Operasi (Op) Suri pada 1 Januari 2020 membabitkan penandaan harga dan mencegah pencatutan termasuk oleh peniaga ayam, daging, ikan dan sayuran.

"Selain itu, kami juga menjalankan Op Pasar membabitkan sayur, daging dan ayam yang bermula pada 12 Januari hingga 17 Mac lalu bagi memantau dan mengawal kenaikan harga di setiap peringkat pembekalan barangan.

"Ia terdiri daripada peruncit (pasar basah, pasar awam dan pasar raya) dan pembekal (pemborong, peladang, pengimport) dengan 1,149 notis dikeluarkan kepada peniaga yang disyaki mencatut," katanya.

Alexander berkata, pihaknya juga melaksanakan Op Pantau di seluruh negara mulai 13 April lalu dengan lokasi tumpuan kepada bazar Ramadan, bazar hari raya, pasar awam, pasar basah, pasar raya hiper, pasar raya, pasar mini, serta kedai runcit berfokus kepada peniaga ayam, daging dan ikan.

"Sehingga 16 April lalu, sebanyak 5,768 premis diperiksa di seluruh negara dengan 27 kes direkodkan atas pelbagai kesalahan.

"Susulan beberapa kes kenaikan harga ayam yang dikesan baru-baru ini, KPDNHEP turut melaksanakan Op Catut 8.0 (Ayam) yang bermula pada 15 April lalu.

"Sebanyak 24 notis dikeluarkan kepada pemborong serta 16 notis dikeluarkan kepada penternak yang disyaki mencatut sehingga 16 April lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 1:11 PM