Harga ayam dilaporkan meningkat. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Harga ayam dilaporkan meningkat. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Oleh Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak menolak kemungkinan pembabitan kartel menyebabkan berlaku kenaikan harga ayam ketika ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata ada pihak tertentu cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan ketika umat Islam menyambut Ramadan.

"Satu perkara yang tidak patut bila ada laporan harga ayam naik mendadak kalau kelmarin dijual sekitar RM9, hari ini dah sampai RM12.

"Mesti ada pelakuan pencatutan dalam isu ini yang mana ada pihak yang cuba ambil untung lebih. Kita syak ada kartel merancang dapat untung banyak dalam keadaan rakyat memerlukan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan bahawa harga ayam segar di pasar basah di Georgetown, Pulau Pinang kini berharga antara RM10.50 hingga RM12 sekilogram. Harga ayam sudah meningkat sekurang-kurang enam kali, 30 sen setiap kali sejak hujung bulan lalu. Malah, harga dijangka naik lagi 30 sen mulai esok.

Peniaga ayam, A T Lim, 40-an, berkata mereka tidak pasti punca kenaikan harga terbabit, tetapi menjelaskan mereka menerima bekalan daripada pembekal pada harga antara RM9.50 hingga RM10 sekilogram.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, pihaknya sudah mengarahkan Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang membuat siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan.

"Saya dimaklumkan pengarah negeri sudah mendapatkan maklumat mengenai perkara ini dan kita minta buat siasatan lanjut.

"Kita di peringkat Pusat juga akan fikir cara mengatasi masalah ini," katanya.

Ditanya sama ada pemberian permit import (AP) mampu mengatasinya manipulasi harga pihak tertentu, beliau berkata itu salah satu cara yang akan difikirkan dan KPDNHEP akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Dr N Marimuthu menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian AP supaya harga ayam dapat distabilkan terutama setiap kali menjelang musim perayaan.

Beliau berkata, lambakan keperluan berkenaan mampu membantu menurunkan harga di pasaran.

"Kenapa kita tidak bagi saja AP untuk import ayam, kita pastinya sudah tahu bahawa setiap kali tiba musim perayaan permintaan untuk ayam akan meningkat.

"Ayam juga menjadi sumber protin utama rakyat Malaysia jadi ia akan sentiasa menjadi keperluan.

"Jadi saya rasa agak pelik kalau KPDNHEP tidak menyediakan sebarang pelan untuk menstabilkan dan menangani kenaikan harga ayam," katanya.

Kelmarin Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, memaklumkan kementeriannya memandang serius peniaga yang dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga ayam.

"Berdasarkan aduan diterima, KPDNHEP melakukan pemeriksaan segera terhadap dakwaan berlaku kenaikan harga beberapa barang keperluan di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang.

"Tindakan penguatkuasaan akan dikenakan terhadap mana-mana peniaga ayam yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 6:57 PM