Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Produk gegelang sotong (sotong ring) yang didakwa diperbuat daripada dubur atau usus babi sudah diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis, Isnin lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya perlu menunggu laporan untuk mengetahui status produk berkenaan.

"Siasatan dilakukan selepas menerima aduan daripada orang awam. Setakat ini, dua kertas siasatan sudah dibuka.

"Produk berkenaan juga dihantar ke Jabatan Kimia dan dibuat ujian untuk pastikan kandungan. Selepas itu isu berkaitan halal atau sebaliknya akan diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Pelancaran Penjenamaan Baru Pasaraya Lotus's Malaysia di Lotus's Ampang di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Presiden Lotus's Malaysia Kenneth Chua.

Sebelum ini, tular di Facebook mengenai dakwaan sotong ring yang dijual di pasaran diperbuat daripada usus babi dan dicampurkan perisa sotong.

Melalui hantaran di Facebook, netizen turut meninggalkan komen meragui cop tanda halal yang dicetak di label pembungkusan.

Sementara itu, ditanya mengenai bekalan barangan keperluan pada bulan Ramadan akan datang, Alexander memberi jaminan bekalan adalah mencukupi dan pemantauan berterusan akan dilakukan KPDNHEP.

"Kita amat pengalaman setiap kali tibanya musim perayaan. Lazimnya, kita buat pemantauan untuk pastikan bekalan dan harga barangan terkawal.

"Begitu juga menjelang perayaan, kita ada Skim Harga Kawalan Musim Perayaan (SHKMP). Kita buat persediaan elak berlaku apa saja situasi menyusahkan atau membebankan rakyat," katanya.

Mengenai Lotus's Malaysia yang dijenamakan semula daripada Tesco selepas diambil alih oleh CP Retail Development Company Limited melalui pengambilalihan bernilai lebih RM44 bilion, beliau berkata, kini pasar raya itu antara pemain utama dalam sektor peruncitan dengan 64 cawangan seluruh negara.

Beliau berharap peralihan jenama itu akan membawa lebih banyak manfaat kepada pengguna dan dapat terus menyumbang terhadap pembangunan ekonomi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 1:56 PM