Amir Mamat


Jasin: Harga ayam dan telur di pasaran tempatan dijangka meningkat selepas tamat Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM), 4 Februari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah terbabit terpaksa diambil sebagai mengimbangi situasi 'menang-menang' antara kumpulan pengguna dan penternak di negara ini.

Beliau berkata, kementeriannya masih meneliti dan mengkaji kenaikan harga barangan berkenaan yang diputuskan menerusi sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), di Putrajaya, semalam.

"Dalam perbincangan semalam, ada persatuan penternak mengeluh mengenai harga ternakan dan kos operasi yang dikatakan meningkat termasuk kos pengimportan dedak ayam.

"Ketika ini harga runcit maksimum ayam bulat adalah RM9.10 sekilogram dan ia dikatakan masih rendah, justeru pihaknya masih mempertimbangkan keputusan untuk menaikkan harga ayam bagi menjaga nasib pengguna dan peniaga," katanya selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai, di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam dan Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar.

Justeru, Alexander berkata, pengguna diharap dapat bersedia kemungkinan kenaikan harga berkenaan selain memahami situasi semasa yang sedang melanda negara ketika ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KPDNHEP akan sentiasa mencari mekanisme terbaik untuk menjaga kepentingan golongan pengguna, peniaga dan penternak.

"Saya harap pengguna faham sebab masalah ini kompleks, (kalau) kita mahu harga yang terlalu murah tetapi penternak tiada pengeluaran... akhirnya kita tiada bekalan.

"Bagaimanapun, keputusan kenaikan harga yang dicapai dalam sesi libat urus itu bergantung kepada pelaksanaan beberapa strategi lain termasuk mengimport ayam dari luar negara, sekali gus dapat menstabilkan harga ayam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 2:09 PM