Mohamed Farid Noh


Segamat: Seorang bapa dari Kampung Chodan, Pogoh Besar, di sini, sebak dan hanya mampu mengalirkan air mata apabila melihat kediamannya ditenggelami bah sehingga paras bumbung.

Lebih memilukan, hasrat Mohd Norhasmi Ithnin, 35, menyelamatkan barangan milik anak sulungnya yang meninggal dunia ketika berusia lapan hari tahun lalu tidak kesampaian, apabila bah naik mendadak ke paras dada tidak sampai satu jam, petang Jumaat lalu.

Md Norhasmi Ithnin sedih kerana tidak dapat menyelamatkan gambar dan barangan arwah anaknya akibat rumahnya ditenggelami air di Kampung Codan, Segamat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Md Norhasmi Ithnin sedih kerana tidak dapat menyelamatkan gambar dan barangan arwah anaknya akibat rumahnya ditenggelami air di Kampung Codan, Segamat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Mohd Norhasmi yang juga pekerja pasar awam berkata, ketika bah mula melanda, penduduk kampung termasuk dirinya kelam kabut menyelamatkan harta benda.

Namun katanya, kebanyakan penduduk termasuk dirinya hanya sempat menyelamatkan barangan penting dan ringan, manakala barangan lain terutama perabot dan beberapa barangan elektrik terpaksa ditinggalkan bagi menyelamatkan diri.

"Penduduk termasuk saya tidak jangka banjir kali ini akan menjadi sebesar dan seteruk ini. Sebelum ini, banjir di sini, tak sampai paras betis, tidaklah sampai tenggelamkan rumah.

"Air naik terlalu mendadak petang Jumaat lalu, tak sampai satu jam air naik sampai paras dada sehingga kebanyakan penduduk panik dan terpaksa meninggalkan rumah tanpa dapat menyelamatkan apa-apa.

"Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya terlupa mengalihkan motosikal, namun paling sedih saya tidak sempat mencapai barangan anak sulung yang meninggal sehari sebelum Ramadan tahun lalu.

"Itulah barangan paling berharga yang saya dan isteri simpan sebagai kenangan terakhir arwah anak sulung kami," katanya sebak ketika ditemui di khemah penduduk Kampung Chodan, di sini, semalam.

Tinjauan menerusi bot yang dilakukan di Kampung Chodan dan kampung sekitar Pogoh semalam, mendapati kawasan di situ bertukar menjadi seperti laut.

Puluhan rumah penduduk kampung dilihat ditenggelami bah sehingga paras bumbung.

Penduduk juga dilihat menunggu dengan sabar di khemah penduduk di kawasan jalan yang tinggi di situ, bagi menanti banjir sejak Jumaat lalu, untuk surut.

Sementara itu, Norhasmi berkata, dia dan penduduk lain reda dengan ujian Allah walaupun kediaman dan harta benda mereka musnah dalam bencana banjir besar itu.

Katanya, bencana itu turut memberikan hikmah apabila penduduk kampung saling bantu-membantu termasuk memberikan semangat.

"Banjir kali ini sangat buruk. Kami memang tidak bersedia namun penduduk saling membantu berkongsi apa yang ada termasuk pakaian dan makanan.

"Tidak terbalas jasa mereka yang banyak membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 10:04 AM