SERAMAI tiga pegawai dan 14 anggota Unit Tindakan Khas Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Segamat berganding bahu membawa bantuan keperluan asas untuk mangsa banjir di Kampung Chodan. FOTO Bernama
SERAMAI tiga pegawai dan 14 anggota Unit Tindakan Khas Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Segamat berganding bahu membawa bantuan keperluan asas untuk mangsa banjir di Kampung Chodan. FOTO Bernama
BERNAMA

Segamat: Sebuah khemah yang dibina Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) diibaratkan 'pusat sehenti' bagi 71 orang penduduk Kampung Chodan di sini apabila menjadi tempat mendapatkan bantuan makanan dan keperluan asas selain pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir.

Khemah seluas enam meter persegi yang terletak kira-kira dua kilometer dari Sungai Chodan itu dibina Ahad lepas selepas balai raya yang sepatutnya dijadikan PPS ditenggelami air akibat limpahan air sungai berkenaan.

Selain menjadi tempat berlindung bagi 12 orang daripada empat keluarga, khemah itu juga turut menjadi tempat penduduk kampung yang tidak dipindahkan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan daripada kakitangan perubatan.

Shima Yahaya, 39, berkata rumah keluarganya yang terletak berhampiran sungai ditenggelami air, selain PPS di Kampung Tekam dan balai raya berhampiran turut dinaiki air, menyebabkan mereka hilang arah untuk mendapatkan perlindungan.

"Keperluan di sini semua mencukupi dari segi bantuan makanan dan pemeriksaan kesihatan. Penduduk yang tidak duduk di tempat ini (khemah) juga datang mendapatkan bantuan serta pemeriksaan kesihatan secara percuma yang disediakan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kami bersyukur dengan bantuan ini dan berharap air akan surut tetapi selalunya ia akan mengambil masa yang lama," katanya yang ditemui di khemah itu hari ini.

Penghulu Mukim Pogoh, Hamzah Abu Bakar berkata Kampung Chodan menerima limpahan air dari Sungai Muar dan Segamat dan pertembungan air dari dua sungai itu menyebabkan kawasan itu dinaiki air walaupun keadaan cuaca panas dan tidak hujan sejak beberapa hari.

"Pogoh termasuk Kampung Chodan ini adalah kawasan tradisi banjir dan setakat ini sembilan PPS dibuka dengan pelbagai bantuan disalurkan daripada agensi kerajaan dan NGO.

"Mereka yang tidak tinggal di PPS juga akan dibantu dan kami mempunyai rekod mangsa yang berpindah atau tidak," katanya selepas meninjau keadaan khemah itu bersama pasukan Unit Tindakan Khas Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Segamat.

Tinjauan Bernama sekitar mukim Pogoh seperti Kampung Tekam dan Chodan mendapati kawasan itu seperti pulau kecil dengan laluan utama dipenuhi air dan hanya boleh dilalui dengan menaiki bot.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 2:22 PM