GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri: Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa 1 yang dilaksanakan kerajaan negeri di daerah Segamat berjaya mengurangkan jumlah mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar berkata, sebelum perancangan itu dilaksanakan, jumlah mangsa banjir direkodkan seramai 21,158 penduduk.

Menurutnya, selepas RTB Fasa 1 dilaksanakan di daerah berkenaan, jumlah mangsa terjejas banjir direkodkan adalah seramai 11,040 orang.

"Ini menunjukkan sebanyak 52 peratus jumlah mangsa banjir dapat dikurangkan di daerah Segamat selepas pelaksanaan RTB Fasa 1.

"Antara punca yang menyebabkan berlakunya banjir adalah taburan hujan lebat dalam satu-satu masa menyebabkan sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung aliran air yang banyak seterusnya melimpah ke penempatan penduduk dan lebih memburukkan keadaan apabila bertembung dengan air pasang," katanya ketika Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini.

Raven menjawab soalan lisan N Saraswati (BN-Kemelah) berhubung perancangan kerajaan negeri dalam memastikan sistem pengairan dan saliran dapat diselenggara sepenuhnya bagi mengelakkan banjir terutamanya di kawasan perkampungan di Pogoh, Segamat.

Raven berkata, RTB Fasa 1 dengan keseluruhan kos membabitkan RM172.8 juta siap dilaksanakan sepenuhnya di dalam kawasan daerah terbabit yang membabitkan enam pakej iaitu kerja menaik taraf Sungai Genuang, Sungai Chodan (Kampung Lubok Selumar-Kg Paya Pulai), Sungai Chodan, Sungai Segamat, pembinaan Jambatan Genuang dan lencongan Sungai Segamat-Sungai Genuang.

Pada masa sama, penyediaan pelan jangka panjang melalui projek RTB Segamat Fasa 2 dengan kos keseluruhan bernilai RM650 juta juga diharap terus dapat mengurangkan jumlah mangsa banjr di daerah Segamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 1:31 PM