AZAM (dua dari kanan) menyerahkan kereta jenazah kepada wakil penduduk Felda Cerul. FOTO ROSLI ILHAM
AZAM (dua dari kanan) menyerahkan kereta jenazah kepada wakil penduduk Felda Cerul. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


Chukai: Seorang peniaga menyumbangkan sebuah van jenazah bagi memudahkan penduduk di Felda Cerul, dekat sini, menghantar jenazah ke tanah perkuburan.

Sebelum ini, penduduk di kawasan Felda itu terpaksa menggunakan pelbagai kenderaan seperti pikap dan lori setiap kali berlaku kematian penduduk di situ.

Peniaga dikenali sebagai Azam, 35, berkata, dia merasa terpanggil untuk membantu selepas mendapat tahu penduduk di kawasan Felda itu berdepan kesukaran setiap kali mahu membawa jenazah ke kubur.

Menurutnya, dia menghubungi ketua peneroka di Felda itu untuk meminta beberapa maklumat sebelum berbincang dengan beberapa rakan untuk mencari van terpakai bersesuaian.

"Hasil perbincangan dengan rakan, saya membeli sebuah van dan mengubah suai kenderaan itu dengan kos keseluruhan RM20,000.

"Saya berharap van jenazah ini ia memberi kemudahan kepada penduduk di sini untuk mengambil dan menghantar jenazah ke tanah perkuburan," katanya yang tinggal di Dungun.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Cherul, Mad Zaid Jusoh berkata, penantian penduduk memiliki kenderaan jenazah sepanjang 35 tahun akhirnya tercapai.

Menurutnya, pihaknya sangat berterima kasih kepada penyumbang prihatin itu yang sanggup membantu menyelesaikan masalah komuniti di kawasan itu.

"Biarpun penyumbang itu berasal dari luar daerah ini, saya saya tetap memuji kesanggupannya itu menyumbang kepada penduduk di kampung kami.

"Kami akan menjaga kereta jenazah ini dengan sebaik mungkin dan pihak jawatankuasa masjid akan menggunakan peruntukan khairat kematian bagi kos minyak dan penyelenggaraannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 5:11 PM