MANGSA banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang terkandas mula berpindah ke lokasi lebih selamat susulan banjir yang melanda sejak Sabtu lalu. FOTO FAIZ ANUAR
MANGSA banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang terkandas mula berpindah ke lokasi lebih selamat susulan banjir yang melanda sejak Sabtu lalu. FOTO FAIZ ANUAR
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan kemungkinan berlakunya peningkatan kes Covid-19 berikutan prosedur operasi standard (SOP) tidak dapat dilakukan sepenuhnya sewaktu proses menyelamat mangsa banjir dilakukan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sr Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun, KKM sekali lagi ingin menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan status risiko Covid-19 kepada agensi tindak balas sekiranya disahkan positif Covid-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat supaya tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan.

Menurutnya, sentiasa patuh kepada SOP dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Elakkan daripada berkumpul beramai-ramai dalam kalangan mangsa banjir dan amalkan mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman atau sabun terutama apabila pergi ke tempat menjadi guna sama seperti tandas.

"KKM sudah menyediakan pasukan perubatan di PPS terutama di PPS yang besar, membekalkan ubat-ubatan asas, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada mangsa banjir di PPS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ujian saringan Covid-19 turut dilakukan ke atas mangsa banjir sebelum memasuki PPS bagi mengesan awal jangkitan Covid-19 serta memastikan tiada penularan berlaku di PPS.

Beliau berkata, terdapat mangsa banjir mendapatkan perlindungan di masjid, stesen transit aliran ringan (LRT), pusat membeli-belah dan sebagainya.

"KKM ingin menasihatkan urusetia atau sukarelawan di pusat perlindungan itu supaya dapat menjalankan ujian kendiri air liur RTK Ag kepada setiap individu yang berlindung dan mengasingkan kes yang dikesan positif Covid-19 secepat mungkin.

"Seterusnya, sila maklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) anda dengan menghubungi talian hotline disediakan di https://covid19.moh.gov.my/hotline supaya langkah pengesanan kontak rapat dapat dijalankan segera.

"KKM faham sekiranya pematuhan SOP kesihatan awam tidak dapat dipatuhi sepenuhnya sewaktu menyelamatkan nyawa, tetapi KKM berharap semua individu terbabit sama ada mangsa banjir, anggota sukarelawan atau anggota penyelamat dapat cuba mematuhi SOP sebaik mungkin bagi kurangkan risiko penularan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 9:24 PM