GAMBAR sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR sekadar hiasan. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 185 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir di Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu membabitkan empat penyakit berjangkit iaitu jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit, acute gastroenteritis (AGE) dan konjunktivitis.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 103 membabitkan ARI, penyakit kulit (52), AGE (22) dan konjunktivitis (8).

"Bagi kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir, sebanyak 409 kes dilaporkan, namun tiada kes positif dilaporkan di Pusat Perpindahan Sementara (PPS)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, sebanyak 256 PPS membabitkan 41,819 mangsa di lima negeri berkenaan masih beroperasi sehingga 3 petang tadi.

"Mangsa banjir dinasihatkan supaya memaklumkan status risiko Covid-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif dikenal pasti sebagai kontak rapat supaya tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan dibuat.

"Selain itu, mangsa banjir juga diminta patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS," katanya.

Beliau turut menasihatkan supaya mengelak dari berkumpul beramai-ramai dalam kalangan mangsa banjir semasa berada di PPS.

Katanya, pakai pelindung diri semasa operasi memindahkan mangsa banjir dan sewaktu melakukan proses-proses pembersihan pasca banjir selain memastikan kebersihan diri terjaga dengan segera membersihkan badan yang terkena air banjir.

"Elakkan diri daripada bermain atau meredah air banjir dan elak minum air serta makan makanan yang tercemar selain menjaga kebersihan kawasan PPS bagi mengelak penyakit bawaan vektor.

"Sekiranya bergejala, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran terutama bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil individu mempunyai komorbiditi.

"Petugas perubatan di semua fasiliti kesihatan perlu lebih berwaspada akan gejala-gejala penyakit," katanya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya supaya penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya Covid-19 dapat dibendung.

"Untuk maklumat lebih lanjut dan kemaskini mengenai info bencana banjir, sila layari laman sesawang https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 8:24 PM