DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengenalpasti 20 pusat pemindahan sementara (PPS) khusus untuk menjalani isolasi serta menempatkan kes positif Covid-19 di kawasan yang terjejas banjir.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya akan memastikan PPS yang yang dikenal pasti itu mampu menampung kes positif di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, ketika ini individu yang dijangkiti Covid-19 akan diasingkan serta menjalani kuarantin di rumah, namun dengan adanya PPS khas berkenaan kesemua mereka akan ditempatkan di situ.

"Kita akan bekerjasama dengan beberapa pihak untuk melihat tempat yang berkemungkinan ada peningkatan kes jangkitan Covid-19 dan keadaan banjir di kawasan berkenaan.

"KKM akan mengimbangkan kedua-dua ini untuk memastikan tiada penularan Covid-19 di PPS," katanya kepada media selepas menerima Pingat Ketua Pengarah (PKP) Bomba, di sini, hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM juga akan melaksanakan ujian saringan, tindakan kesihatan awam serta meningkatkan liputan vaksinasi.

Katanya, jika ada individu yang ketinggalan untuk mendapatkan vaksin atau dos penggalak, mereka juga boleh mendapatkan pelalian berkenaan di PPS.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, kebanyakan PPS menggunakan bangunan sekolah dan pihaknya mencadangkan menggunakan aras paling atas untuk menempatkan individu yang bergejala.

"Diharapkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dapat membantu Nadma memberikan data pengesanan rumah yang mempunyai individu menjalani kuarantin atau pesakit Covid-19.

"Menerusi cara itu, kita dapat memaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah rumah mana yang perlu hantar pasukan khas yang memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk kerja menyelamat.

"Bagi mangsa banjir yang tidak dijangkiti atau berisiko, kita boleh selamatkan mereka seperti biasa," katanya.

Mengenai majlis berkenaan, selain Dr Noor Hisham dan Aminuddin, turut menerima PKP Bomba ialah mantan Ketua Pengarah Nadma, Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman dan Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health Tan Sri Jemilah Mahmood dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Tiga Pengarah Bomba negeri iaitu Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat (JBPM) Pahang, Dr Wan Mohamad Zaidi Wan Isa; Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid dan Pengarah JBPM, Kelantan Jainal @Zainal Madasin, turut menerima PKP Bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 6:35 PM