FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 13 kes penyakit berjangkit membabitkan jangkitan saluran pernafasan Akut (ARI), penyakit kulit dan Acute Gastroenteris (AGE) dikesan dalam kalangan mangsa banjir, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan kes bagi ketiga-tiga penyakit berkenaan selain konjunktivitis serta penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) sebanyak 2,455 kes.

Katanya, tiada kes baharu positif Covid-19 dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kalangan mangsa banjir, hari ini.

"Sebanyak 470 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan setakat ini dalam kalangan mangsa banjir.

"Tiada pertambahan kluster baharu yang dilaporkan hari ini dalam kalangan mangsa banjir di pusat perpindahan sementara (PPS) menjadikan jumlah keseluruhan kluster dikesan masih lagi satu kluster.

"Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di PPS juga masih kekal 15 kes tanpa pertambahan kes dilaporkan hari ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 27 PPS membabitkan 1,086 mangsa di Johor dan Melaka masih beroperasi sehingga jam 3 petang tadi.

"Mangsa banjir dinasihatkan supaya memaklumkan status risiko Covid-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif dikenal pasti sebagai kontak rapat supaya tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan dibuat.

"Selain itu, mangsa banjir juga diminta patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS," katanya.

Beliau turut menasihatkan supaya mengelak dari berkumpul beramai-ramai dalam kalangan mangsa banjir semasa berada di PPS.

Katanya, pakai pelindung diri semasa operasi memindahkan mangsa banjir dan sewaktu melakukan proses-proses pembersihan pasca banjir selain memastikan kebersihan diri terjaga dengan segera membersihkan badan yang terkena air banjir.

"Elakkan diri daripada bermain atau meredah air banjir dan elak minum air serta makan makanan yang tercemar selain menjaga kebersihan kawasan PPS bagi mengelak penyakit bawaan vektor.

"Sekiranya bergejala, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran terutama bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil individu mempunyai komorbiditi.

"Petugas perubatan di semua fasiliti kesihatan perlu lebih berwaspada akan gejala-gejala penyakit," katanya.

Menurutnya, KKM akan sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya supaya penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya Covid-19 dapat dibendung.

"Untuk maklumat lebih lanjut dan kemaskini mengenai info bencana banjir, sila layari laman sesawang https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 7:55 PM