GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sebanyak 361 kes positif Covid-19 direkodkan setakat ini membabitkan mangsa banjir daripada 65,114 orang yang terjejas dalam bencana itu,

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga jam 3 petang ini, sebanyak 415 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi membabitkan tujuh negeri iaitu Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Melaka.

Menurutnya, jumlah keseluruhan mangsa terjejas banjir adalah 65,114 orang dengan 361 disahkan positif Covid-19 manakala tiada kes positif di PPS.

"Selain itu, 963 (27.2 peratus) daripada 3,438 mangsa banjir diperiksa dan diberi rawatan pesakit luar oleh pasukan perubatan di PPS.

"Rawatan diberikan membabitkan 203 kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) penyakit kulit (50), gejala acute gastroenteritis (AGE) (13), penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) satu kes dan lain-lain penyakit 43 kes," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya supaya penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya Covid-19 dapat dibendung.

"Untuk maklumat lebih lanjut dan kemaskini mengenai info bencana banjir, sila layari laman web https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 8:11 PM