GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Essa Abu Yamin


Muar: Lima pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di daerah ini ditahan polis selepas dipercayai membuli seorang pelajar lain sehingga cedera di rusuk kiri. Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kesemua suspek berusia 16 tahun itu ditahan hari ini di sekitar Kuala Sungai Baru, Melaka; Kajang, Selangor; Kuala Lumpur dan Daerah Johor Bahru.

"Penahanan berkenaan dilakukan susulan laporan berkaitan kejadian pelajar lelaki berusia 14 tahun dibuli oleh 'senior' pada 9 Disember lalu sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital.

"Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima laporan petang semalam (Selasa) memaklumkan mangsa dibuli pelajar lebih 'senior' sehingga mengalami kecederaan bengkak di bahagian rusuk kiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaharudin berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada beberapa pelajar senior yang tidak berpuas hati dengan sikap mangsa dan rakan-rakannya, menyebabkan mereka dibuli.

"Kesemua remaja itu akan didakwa direman di mahkamah, di Muar esok.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

"Pihak polis memandangkan serius terhadap kes jenayah membabitkan pelajar khususnya kes buli di sekolah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 10:45 PM