GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Essa Abu Yamin


Muar: Seramai 18 individu ditahan dalam serbuan di tiga premis yang dipercayai dijadikan pusat perjudian dalam talian di sekitar pusat bandar di sini, kelmarin.

Serbuan dilakukan pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, pada jam 8.35 malam.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 30 tahun termasuk empat wanita warga tempatan.

"Dalam serbuan berkenaan, pihak polis merampas 13 set komputer dan 57 telefon bimbit pelbagai jenama.

"Turut dirampas peralatan dan peranti komputer yang disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan judi dalam talian membabitkan 12 laman sesawang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaharudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 yang boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 hingga RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas," katanya.

Katanya, pihak polis sentiasa mengharapkan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti perjudian dalam talian bagi memastikan pembanterasan berkesan terhadap kegiatan yang menyalahi undang-undang ini dilaksanakan secara berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 11:32 AM