Mohamad Rayyan Naufan yang didukung ibunya berkhatan pada usia empat tahun. Dua beradik, Mohamad Aizat Syameel dan Mohamad Syarif Aidil turut berkhatan bersama kanak-kanak lain. FOTO Siti Rohana Idris.
Mohamad Rayyan Naufan yang didukung ibunya berkhatan pada usia empat tahun. Dua beradik, Mohamad Aizat Syameel dan Mohamad Syarif Aidil turut berkhatan bersama kanak-kanak lain. FOTO Siti Rohana Idris.
Mohamad Zulhairie Manzaidi


PENGARUH animasi Upin Ipin menyebabkan seorang kanak-kanak di Tumpat mahu berkhatan seawal usia empat tahun.

Mohamad Rayyan Naufan Abdul Ghani memberitahu ibunya, Norizan Mohamad, 54, yang dia mahu berkhatan sebelum sesi persekolahan bermula.

Hari ini, impiannya tercapai apabila dia dikhatankan beramai-ramai bersama kanak-kanak lain.

Mohamad Rayyan Naufan bersama 113 kanak-kanak berkhatan pada Program Khatan Perdana dan Bertindik di Wisma Purnama, Wakaf Bharu, Tumpat.

Norizan berkata, anak bongsu daripada 12 beradik itu peminat setia animasi Upin Ipin dan menerusi siri itu, dia berminat untuk berkhatan pada usia awal.

“Saya sebenarnya tidak terlalu terkejut ketika Mohamad Rayyan Naufan membuat permintaan terbabit kerana tahun lalu, sepupunya juga berkhatan pada usia sama.

“Tapi tidak sangka Mohamad Rayyan Naufan seberani itu kerana dia pendiam walaupun aktif,” katanya ditemui.

Selain Mohamad Rayyan Naufan, adik beradik, Mohamad Aizat Syameel Mohd Zaki, 10, dan Mohamad Syarif Aidil, 8, turut mengambil bahagian.

Mohamad Aizat berkata, dia sebenarnya mahu berkhatan tahun lalu, namun tidak bersedia apabila gilirannya tiba.

“Tahun ini saya sudah benar-benar sedia, adik juga mahu berkhatan bersama saya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, program berkenaan adalah acara tahunan sejak 2005.

“Kami akan teruskan program sama bagi membantu golongan memerlukan terutamanya asnaf,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 3:43 PM