MUHAMMAD Asif, (kiri) dan abangnya, Darwisy Danial, (kanan) ketika menunggu giliran berkhatan pada Program Khatan Perdana 2018. FOTO Nor Farhani Che Ad
MUHAMMAD Asif, (kiri) dan abangnya, Darwisy Danial, (kanan) ketika menunggu giliran berkhatan pada Program Khatan Perdana 2018. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


BARU berusia tiga tahun, Muhammad Asif Mohd Arif Amirul dari Sungai Layar, Sungai Petani sedikit pun tidak menunjukkan rasa gementar, malah tidak sabar menunggu gilirannya dikhatankan.

Itu reaksi peserta termuda yang menyertai Program Khatan Perdana 2018 anjuran Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di Dewan Kenangan di Sungai Petani, hari ini.

Ketika ditemui kanak-kanak itu kelihatan begitu teruja menyertai program yang turut membabitkan lebih 200 kanak-kanak sekitar Sungai Petani berusia tiga hingga 12 tahun.

“Hari ini saya datang nak ‘sunat’ dengan abang, saya tak takut sebab umi cakap tak sakit, macam kena gigit semut ja,” katanya.

Ibu kanak-kanak itu, Nurul A’mirah Azami, 33, berkata, biarpun sudah diceritakan mengenai proses yang akan dilakukan, anak bongsu daripada dua beradik itu tidak menolak apabila diminta untuk berkhatan bersama abangnya Darwisy Danial, 6.

“Dia tak menolak atau menyuarakan rasa takut langsung bila saya minta dia berkhatan pada cuti sekolah kali ini dengan abangnya.

“Malah dia teruja sambil bercerita tentang watak kartun kegemarannya iaitu Upin Ipin yang turut berkhatan dalam rancangan itu,” katanya.

Sementara itu, Yang DiPertua (YDP) MPSPK, Norizan Khazali berkata, program tahunan itu adalah satu daripada program tanggungjawab sosial (CSR) yang dijalankan MPSPK kepada penduduk setempat.

Katanya, pada tahun ini kira-kira RM50,000 diperuntukkan bagi penganjuran program berkenaan dan setiap peserta hanya dikenakan bayaran sebanyak RM20 sahaja berbanding caj yang dikenakan sekitar RM150 seorang bagi perkhidmatan berkhatan di klinik swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 12:51 PM