KANAK-KANAK dijunjung ketika perarakan sempena majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Persatuan Penduduk Taman Perpaduan di Ulu Kinta. FOTO Balqis Jazimah Zahar
KANAK-KANAK dijunjung ketika perarakan sempena majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Persatuan Penduduk Taman Perpaduan di Ulu Kinta. FOTO Balqis Jazimah Zahar
Balqis Jazimah Zahari

“KAMI seronok!” jerit 20 kanak-kanak yang teruja menyertai majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Persatuan Penduduk Taman Perpaduan, Ulu Kinta, hari ini.

Paling mencuit hati apabila masing-masing menunjukkan reaksi wajah terkejut seakan terlupa perlu bersunat apabila dipanggil untuk masuk ke bilik untuk berkhatan.

Pengerusi persatuan berkenaan, Sezali Shariff berkata, program yang julung kali diadakan itu bertujuan mengeratkan ukhuwah penduduk di taman perumahan berkenaan.

Katanya, program bermula seawal 8 pagi dengan jamuan makan dan kanak-kanak berusia antara 6 hingga 11 tahun itu di diraikan dengan diarak sehingga ke atas pelamin.

“Bagi menggembirakan kanak-kanak ini, kita memberi hadiah dan setiap peserta turut menerima sijil penyertaan program bersunat.

“Sebelum berkhatan, kanak-kanak juga dibawa menaiki motosikal berkuasa tinggi mengelilingi taman perumahan dan disembur air bomba,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad; Kaunselor Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merangkap Ketua Wanita PKR Tambun, Norhayati Sani dan Ketua Pemuda PKR Tambun, Asraf Kahasani.

Sezali berkata, majlis berkhatan itu turut diserikan dengan persembahan pencak silat dan alunan muzik tradisional hadrah oleh Kumpulan Gendang Warisan Seni Budaya Taman Perpaduan.

Katanya, program itu diadakan sempena cuti sekolah untuk anak ahli persatuan dan juga penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

“Persatuan Penduduk Taman Perpaduan baru sahaja ditubuhkan pada Mac tahun ini, selain daripada majlis berkhatan sebelum ini kami turut mengadakan majlis hari raya, sambutan Maal Hijrah dan hari keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 7:22 PM