LOKASI kejadian kemalangan kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dan lori di Kilometer 29 Lebuhraya Karak menghala Gombak. FOTO Ihsan PDRM
LOKASI kejadian kemalangan kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dan lori di Kilometer 29 Lebuhraya Karak menghala Gombak. FOTO Ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim

Gombak: Lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dipandu terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 29, Lebuhraya Karak menghala Gombak di sini, semalam.

Mangsa Muhammad Haziq Ayob, 24, cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Selayang.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Gombak menerima laporan kemalangan jam 10.28 malam.

Menurutnya, siasatan mendapati insiden berlaku jam 8 malam apabila sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 26 tahun dari arah Karak menghala ke Klang mengalami kerosakan di bahagian enjin.

"Pemandu lori hendak masuk ke lorong kecemasan untuk berhenti namun secara tiba-tiba datang kenderaan dipandu mangsa dari arah belakang dan melanggar bahagian kiri lori.

"Pelanggaran itu menyebabkan kenderaan mangsa hilang kawalan dan terbalik. Mangsa tersepit dan cedera parah di kepala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 pagi tadi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Zainal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 8:36 PM