TANGKAP layar daripada video tular kemalangan bas dan 10 kenderaan semalam.
TANGKAP layar daripada video tular kemalangan bas dan 10 kenderaan semalam.
Raja Noraina Raja Rahim

Gombak: Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan membabitkan sebuah bas dan 10 kenderaan lain di Kilometer 32.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat sini, semalam untuk tampil membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 12.33 tengah hari.

"Hasil siasatan dijalankan kemalangan berlaku 10.40 pagi ketika kesemua kenderaan dalam perjalanan dari arah Bentong menghala ke arah Gombak.

"Kenderaan sedang bergerak perlahan kerana kesesakan jalan raya.

"Sebuah bas dari arah sama dipercayai hilang kawalan dan terus melanggar belakang sebuah kenderaan mengakibatkan sembilan kenderaan lain turut mengalami kerosakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang terbabit tidak mengalami kecederaan.

Katanya, polis sudah mengenal pasti pemandu bas iaitu lelaki berusia 53 tahun, namun punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

Noor Ariffin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 7:48 PM