RAJESH meninggal dunia selepas terbabit kemalangan jalan raya di Batu Caves, malam tadi.
RAJESH meninggal dunia selepas terbabit kemalangan jalan raya di Batu Caves, malam tadi.
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Pemain bola sepak pasukan Petaling Jaya City (PJ City FC) maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar pokok di Jalan Sri Batu Caves, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa, P Rajesh, 37, menunggang motosikal jenis skuter Benelli 125i dalam perjalanan dari arah Batu Muda menghala ke Batu Caves.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku selepas motosikal mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar pokok.

"Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Selayang untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 1:21 PM