GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Samadi Ahmad

Cyberjaya: Besar jumlahnya apabila sebanyak 121 tan barangan kitar semula berjaya dikutip Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) melalui program '3R On Wheels' sejak ia dimulakan pada 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan, berkata, program itu antara inisiatif syarikat dalam usaha mengalihkan sisa kitar semula daripada dihantar ke tapak pelupusan.

Menurutnya, jumlah itu cukup untuk memenuhi 10 padang bola sepak dan sisa kitar semula yang dikumpulkan adalah antara usaha diadakan bersama dengan persatuan penduduk, sekolah, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan syarikat swasta di seluruh Lembah Klang.

Katanya, kutipan barangan kitar semula menggunakan konsep '3R On Wheels' sememangnya diwujudkan sebagai alternatif untuk memudahkan orang ramai menghantar barangan tanpa berkunjung ke pusat kitar semula.

"Setakat ini sambutan dari orang ramai sangat menggalakkan apabila program ini diadakan secara turun padang, namun keadaan agak perlahan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu sehingga pertengahan tahun ini," katanya pada program '3R On Wheels' bersempena 'Recycle Fest' anjuran bersama Alam Flora dan Malakat Mall di sini, tadi.

Mohd Zain berkata, pihaknya menjangka akan berlaku peningkatan dari segi kutipan barang kitar semula melalui aktiviti-aktiviti yang disusun pada tahun hadapan.

Menurutnya, Alam Flora juga mengalu-alukan mana-mana syarikat yang berminat untuk bekerjasama dalam penganjuran program 'Recycle Fest'.

Katanya, ia adalah antara usaha proaktif Alam Flora dalam menyokong hasrat kerajaan untuk melaksanakan pengasingan sisa di punca dan meningkatkan pengalihan sisa, sekaligus menambah aktiviti 3R (Guna Semula, Kurangkan, Kitar Semula) dan memenuhi sasaran kerajaan untuk mencapai kadar kitar semula sebanyak 40 peratus kadar kitar semula menjelang 2025.

"Alam Flora sentiasa proaktif dalam mencari idea baharu untuk menyemai budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat dan menjadikannya sebagai amalan harian mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 6:04 PM