REKAAN Nor Farizan (kiri) dinobatkan juara pertandingan reka fesyen daripada bahan kitar semula. Rekaan Muhammad Danish (tengah) mendapat tempat kedua manakala rekaan Wan Rahman (kanan) mendapat tempat ketiga. FOTO ihsan Alam Flora
REKAAN Nor Farizan (kiri) dinobatkan juara pertandingan reka fesyen daripada bahan kitar semula. Rekaan Muhammad Danish (tengah) mendapat tempat kedua manakala rekaan Wan Rahman (kanan) mendapat tempat ketiga. FOTO ihsan Alam Flora
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Penuntut daripada Institut Kemahiran Belia Negara, Peretak mengambil masa lima hari bagi menyiapkan rekaan yang memenangi tempat pertama pertandingan reka fesyen daripada bahan kitar semula anjuran Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora).

Nor Farizan Jawahir berkata, dia sudah menyertai pertandingan ini sebanyak enam kali dan ini kali kedua bergelar juara.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Alam Flora di atas penganjuran pertandingan ini.

"Cabaran perlu ditempuhi dalam rekaan ini memang susah kerana jika menghasilkan rekaan daripada fabrik tidak ada masalah tetapi apabila menggunakan barang kitar semula menghadapi kekangan idea.

"Saya sendiri mencuba sebanyak dua tiga kali sebelum berjaya membuat rekaan itu di mana saya menggunakan bahan majalah dan piring kertas terbuang dengan mengambil masa lima hari untukdisiapkan," katanya.

Bagi pertandingan itu, Muhammad Danish Saiful Rizal daripada Management Science Universiti (MSU) mendapat tempat kedua dan tempat ketiga, Wan Rahman Muhammad Izzuan Abdul Rahman daripada Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), Datuk Mohd Zain Hassan berkata, Alam Flora mengambil langkah proaktif dalam meneruskan usahanya untuk menyemai amalan 3R (Reduce, Reuse and Recycle) dalam kalangan komuniti menerusi acara tahunan ikonik mereka, 'waste is amazing' iaitu pertandingan reka fesyen daripada bahan kitar semula.

Menurutnya, dengan menggunakan tema 'paper couture,' pertandingan fesyen yang unik ini sudah memasuki tahun kesembilan dan pelbagai idea kreatif dan luar biasa dipertonjolkan.

"Pada tahun ini, seramai 20 pereka amatur yang terpilih dari pelbagai latar belakang, menunjukkan kreativiti mereka dalam rekaan pakaian secara maya disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).

"Dengan adanya pelbagai halangan akibat pendemik Covid-19, kami masih menerima sambutan penyertaan yang luar biasa di mana menerima lebih daripada 80 penyertaan," katanya pada sidang media yang diadakan secara maya, hari ini.

Mohd Zain berkata, ini jelas menunjukkan karya itu tidak mengenal batasan dan sekaligus penerimaan terhadap budaya kitar semula semakin di terima terutamanya dalam kalangan genersi muda.

"Pemilihan kertas sebagai bahan utama pada rekaan fesyen pada tahun ini adalah amat bertepatan sekali kerana kajian yang dijalankan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) menunjukkan bahawa kertas adalah bahan buangan ketiga terbesar selepas sisa makanan dan plastik.

"Ia juga bersesuaian dengan aspirasi pihak kerajaan bagi mengurangkan sebanyak 40 peratus sisa yang boleh dikitar semula, dibuang ke tapak pelupusan menjelang 2025," katanya.

Beliau berkata, bagi mencapai matlamat ini, Alam Flora mempertingkatkan usahanya dalam menjangkau pengurusan sisa terutamanya dalam membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan rakyat Malaysia dan 'waste is amazing' adalah satu daripadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 1:35 PM