Pekerja Alam Flora sedang melakukan kutipan sisa pepejal yang meningkat pada bulan Ramadan tahun 2024
Pekerja Alam Flora sedang melakukan kutipan sisa pepejal yang meningkat pada bulan Ramadan tahun 2024
Suliati Asri


Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mencatatkan peningkatan kutipan sisa pepejal sebanyak 3,600 tan metrik pada hari ke-20 Ramadan berbanding pada tahun lalu.

Jumlah itu merangkumi ketiga-tiga kawasan konsesi di bawah pengurusan Alam Flora iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Adam Saffian Ghazali, berkata makanan yang tidak habis dijual di bazar Ramadan adalah antara penyumbang utama peningkatan kutipan sisa selain plastik dan polisterin iaitu bungkusan makanan.

"Pembaziran makanan pada bulan Ramadan dapat dilihat menerusi peningkatan 2,800 tan metrik sampah yang dibawa ke tapak pelupusan dalam sehari, berbanding 2,500 tan matrik sampah pada hari biasa bagi kawasan Kuala Lumpur yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di negara ini.

"Menurut statistik dari 2019 hingga 2024, tren peningkatan kutipan sisa pepejal pada bulan Ramadan adalah seperti yang dijangkakan dan 66 peratus daripada sampah makanan terbabit boleh dielakkan sekiranya orang ramai tahu cara penyimpanan makanan dengan betul serta pembelian secara berhemah," katanya.

Adam Saffian berkata juadah yang disediakan berkemungkinan terlampau berlebihan sehingga tidak mampu dihabiskan dan akhirnya terpaksa di buang ke dalam tong sampah sebagai sisa makanan.

"Alam Flora akan terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Bagaimanapun, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan dalam menjaga kebersihan terutamanya di kawasan kediaman masing-masing.

"Sebagai contoh, sampah yang boleh dikitar semula seperti botol plastik, kertas serta tin aluminium perlu diasingkan, diletakkan dalam beg plastik serta diikat dengan kemas.

"Kemudian, diletakkan di tepi tong sampah pada hari kutipan untuk barangan kitar semula selaras dengan program pengasingan sisa di punca anjuran pihak kerajaan," katanya.

Alam Flora juga memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari jam 8.00 pagi sehingga 8.00 malam untuk berkongsi maklumat tahap kebersihan di kawasan masing-masing supaya tindakan susulan yang bersesuaian dapat diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 5:14 PM