PEMULIHARAAN alam semula jadi adalah tanggungjawab semua demi
PEMULIHARAAN alam semula jadi adalah tanggungjawab semua demi
Pauline Goh

Statistik merekodkan kadar kitar semula keseluruhan di Malaysia masih rendah, sekitar 30 peratus untuk sisa am.

Masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak mengasingkan sampah untuk dikitar semula dan terus membuangnya dalam tong sampah sebelum ia dibawa ke tempat pelupusan sampah.

Kesedaran terhadap kepentingan mengitar semula barang masih kurang dalam kalangan masyarakat di negara ini. Malah, ketika pandemik Covid-19, jumlah sampah dilihat semakin bertambah berikutan ramai yang membeli barang dan makanan secara dalam talian.

Oleh itu, adalah penting masyarakat di negara ini memainkan peranan penting dengan mula mengasingkan sisa yang sesuai untuk dikitar semula bermula dari rumah. Selain itu, kita juga boleh membawa barang kitar semula ke kedai barang terpakai atau pusat pengumpulan barang kitar semula.

Bagaimanapun, perlu diakui sehingga kini pusat seumpama ini belum banyak di negara ini.

Menyedari kesan yang semakin memudaratkan alam sekitar akibat sisa pembungkusan pengguna, pemain industri dalam sektor barangan pengguna cepat laris (FMCG) berganding bahu menubuhkan Malaysian Recycling Alliance Berhad (MAREA).

MAREA yang ditubuhkan pada 4 Januari lalu membolehkan sekumpulan Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) pimpinan industri sukarela yang terdiri daripada syarikat dengan matlamat memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan rantaian nilai dan menambah baik pengumpulan dan mengitar semula sisa pembungkusan pengguna.

Perikatan ini dianggotai 10 ahli iaitu Coca-Cola Malaysia, Colgate-Palmolive Malaysia, Dutch Lady Milk Industries, Etika Group of Companies, Fraser & Neave Holdings Bhd, Mondelēz International, Nestlé Malaysia, Spritzer, Tetra Pak Malaysia dan Unilever Malaysia. Sebagai pengeluar, MAREA turut rasa bertanggungjawab untuk bersama-sama dengan pihak berkepentingan lain bagi menguruskan sisa pembungkusan pengguna. Industri FMCG sudah lama menyokong pentingnya menguruskan dan kitar semula sisa pembungkusan yang tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, ia hanya boleh dilaksanakan jika sisa dikumpulkan untuk dikitar semula oleh sektor pengurusan sisa atau disusun dari sisa campuran. Malah, matlamat MAREA adalah meningkatkan kutipan, menggalakkan penggunaan bahan kitar semula dan boleh diperbaharui serta mengurangkan ketirisan sisa pembungkusan pengguna ke alam sekitar.

MAREA menggalakkan pelupusan sisa pembungkusan plastik pengguna yang lestari menerusi aktiviti kitar semula. Usaha mengubah tingkah laku pengguna juga penting dalam agenda kelestarian dan matlamat ini hanya dapat dicapai menerusi program berterusan dan berkesan yang akan dilaksanakan bersama rakan kerjasama dan pihak berkepentingan lain.

Sebagai pemimpin industri, ahli MAREA memutuskan untuk mengambil tindakan proaktif dengan mewujudkan platform EPR pertama demi menambah baik cara sisa pembungkusan pengguna diuruskan di Malaysia.

MAREA akan menilai semula bagaimana boleh menjadikan rantaian nilai pembungkusan lebih lestari dari segi alam sekitar. Bagaimanapun, perubahan tidak boleh dipacu oleh satu entiti semata-mata dan memerlukan kerjasama proaktif antara syarikat FMCG, penggubal dasar, syarikat kitar semula dan pihak berkepentingan yang berkongsi aspirasi yang sama.

Kemajuan dalam kelestarian pembungkusan menjadi keutamaan tinggi bagi syarikat ahli MAREA, yang masing-masing mempunyai inisiatif dan langkah tersendiri untuk menangani kesan alam sekitar akibat sisa pembungkusan.

Antara perkara awal yang perlu dilaksanakan MAREA ialah mengukuhkan kerjasama awam-swasta dan meningkatkan pendidikan serta kesedaran pengguna mengenai cara untuk melupuskan sisa pembungkusan dengan lebih baik.

MAREA komited bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan pihak berkepentingan lain yang berhasrat untuk mencapai matlamat membina kitaran ekonomi yang bertujuan menjadikan Malaysia lebih bersih dan hijau.

Satu skim insentif akan dilaksanakan menerusi projek perintis di mana sisa pembungkusan pengguna, termasuk botol polietilena tereftalat  (PET), kotak minuman terpakai (UBC), polietilena kepadatan tinggi (HDPE) dan pembungkusan fleksibel akan dikumpulkan dan disalurkan kepada penyedia perkhidmatan kitar semula tempatan

Selain itu, MAREA aktif menjalankan kempen kesedaran berkenaan pengurusan sampah dan kitar semula di media sosial. Ketika ini, aktiviti turun padang bersama komuniti belum boleh dijalankan.

Oleh itu, penggunaan media sosial dengan menghasilkan video bertujuan mendidik orang ramai mengenai kesan pembuangan sampah yang tidak terurus dan panduan mengitar semula.

Penulis ialah Pengurus Besar Malaysian Recycling Alliance Berhad (MAREA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 7:15 AM