Asrol Awang


Kuantan: Sebanyak 44.2 tan barangan kitar semula bernilai RM21,000 dikutip di sekitar Pahang bagi tempoh Januari hingga semalam.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Sharudin Hamid menyifatkan ia pencapaian membanggakan dengan orang ramai semakin sedar mengenai kepentingan program kitar semula.

Katanya, masyarakat mempunyai pilihan sama ada untuk menjual barangan kitar semula sendiri atau mengasingkannya dan diletakkan di kawasan rumah mengikut jadual kutipan ditetapkan Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora).

"Dengan kesedaran yang semakin meningkat, SWCorp dan Alam Flora percaya masyarakat sudah mula mengasingkan barangan seperti plastik, kertas, minyak masak dan botol dengan sisa makanan.

"Pengasingan itu akan mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan dan memelihara sumber alam semula jadi.

"Tahun lalu, 147 tan barang kitar semula bernilai RM54,000 dikutip di seluruh Pahang," katanya pada program pembukaan Pusat Pembelian Barangan Kitar Semula di Taman Gelora, di sini, hari ini.

SHARUDIN Hamid (dua dari kiri) pada Program Pembukaan Pusat Pembelian Barangan Kitar Semula di Taman Gelora, Kuantan. FOTO Asrol Awang
SHARUDIN Hamid (dua dari kiri) pada Program Pembukaan Pusat Pembelian Barangan Kitar Semula di Taman Gelora, Kuantan. FOTO Asrol Awang

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar Bahagian Operasi Alam Flora, Raja Kamal Azizol Raja Ibrahim.

Mengenai pembukaan Pusat Pembelian Barangan Kitar Semula, Sharudin berkata, dua pusat itu dibuka di Taman Gelora dan Pusat Bandaraya dekat Stadium Darul Makmur, di sini sekali gus menjadi projek perintis sebelum ia dibuka di 10 daerah di Pahang.

"Di pusat ini, belian mengikut harga semasa seperti minyak masak dibeli pada harga RM1.80, aluminium (RM2.50) surat khabar, kertas hitam putih dan majalah 25 sen, besi (50 sen) tin (40 sen, plastik (40) untuk sekilogram.

"Masyarakat bukan sahaja menyokong kerajaan bagi program kitar semula, malah turut menjana pendapatan hasil daripada jualan barangan kitar semula itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 12:41 PM