ROSMAN (kanan) bersama pegawai dan anggotanya meninjau pergerakan aliran di kawasan tali air Taman Desa Damai antara lokasi yang sering ditenggelami banjir. FOTO Zaid Salim
ROSMAN (kanan) bersama pegawai dan anggotanya meninjau pergerakan aliran di kawasan tali air Taman Desa Damai antara lokasi yang sering ditenggelami banjir. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Kuala Nerus: Fenonena air pasang besar dijangka berlaku di sepanjang pantai negeri ini dengan ketinggian ombak mencecah sehingga 3.7 meter.

Fenomena itu boleh mengakibat kejadian banjir sekiranya berlaku pertembungan hujan lebat berterusan yang diramalkan bermula bulan ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, fenomena air pasang besar itu dijangka berlaku selama 10 hari bermula Jumaat ini.

Menurutnya, penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran pantai dan tanah rendah di semua daerah di negeri ini kecuali Hulu Terengganu diingatkan sentiasa peka dengan situasi itu.

"Sepanjang tempoh fenomena itu, kedudukan aras air laut tertinggi bagi Stesen Cerapan Kemaman adalah dari 3 meter hingga 3.7 meter.

"Manakala, bagi Stesen Cerapan Kuala Terengganu pula, aras air laut tertinggi pula adalah antara 2.4 hingga 2.9 meter," katanya kepada Harian Metro ketika meninjau aliran air di tali air Taman Desa Damai, di sini, semalam.

Katanya, sebanyak 37 kampung yang terletak di kawasan pantai di tujuh daerah kecuali Hulu Terengganu berkemungkinan berdepan risiko banjir sekiranya berlaku pertembungan hujan lebat dan angin kuat.

Tambahnya, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan fenomena itu sebagai pesta untuk melihat ombak besar.

"Orang ramai juga diingatkan mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti air dan penangkapan ikan oleh nelayan pantai sepanjang musim tengkujuh bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 3:58 PM