Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama tiga hari bermula hari ini di sepanjang pantai di negeri ini yang mengakibatkan paras ombak paling tinggi boleh mencecah tiga meter.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata, sehubungan itu penduduk di sekitar pesisir pantai dan pengunjung yang beriadah atau menjalankan aktiviti pantai ketika itu dinasihatkan supaya berhati-hati.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) di setiap kawasan yang terbabit supaya melakukan pemantauan di lokasi yang berisiko terutama di tepi pantai yang menjadi tumpuan orang awam.

"Kita juga sudah menyiapkan logistik anggota supaya sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi kemungkinan berlaku sekiranya air pasang besar dan sekiranya bertembung dengan hujan lebat boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah.

"Jika dilihat, jangkaan air pasang akan berlaku sekitar 12.47 pagi esok manakala jangkaan air pasang pada Isnin pada 1.16 pagi dan pada Selasa diramalkan berlaku pada 1.45 pagi.

"Keadaan ombak dijangkakan boleh meningkat setinggi tiga meter dan lebih tinggi dari biasa," katanya pada sidang media di Terminal Jeti Feri Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Zairil Anuar berkata, penduduk yang tinggal berdekatan pantai dan di kawasan rendah juga akan berisiko untuk ditenggelami air air pasang bertembung dengan hujan lebat.

"Empat daerah dijangka terjejas akibat fenomena air pasang ini iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Yan dan Kubang Pasu.

"Selain itu, terdapat kawasan yang menjadi tumpuan air pasang berlaku iaitu Kuala Kedah, Kota Kuala Muda, Kuala Yan dan Kuala Jerlun," katanya.

Zairil Anuar berkata, penduduk di kawasan berisiko yang hampir dengan pantai dan laut dinasihatkan supaya bersiap sedia untuk menghadapi fenomena air pasang besar ini.

Beliau berkata, anggota APM sentiasa bersiap siaga dan buat pemantauan dan pada waktu air pasang besar berlaku.

"Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko terutama di kawasan pantai, dinasihatkan supaya sentiasa bersiap siaga dan memantau persekitaran rumah kediaman masing-masing.

"Jika berlaku kenaikan air yang mendadak, mereka diingatkan bersedia untuk pindah ke tempat selamat atau pindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Saya ingatkan juga orang ramai pada tempoh air pasang besar ini supaya tidak beriadah di tepi pantai pada ketika ini dan sentiasa memantau anak-anak yang mandi manda di kawasan pantai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 12:47 PM
Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji (tengah) dan pegawai APM Kedah melakukan pemantauan di kawasan yang berisiko berlaku air pasang besar di Kuala Kedah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji (tengah) dan pegawai APM Kedah melakukan pemantauan di kawasan yang berisiko berlaku air pasang besar di Kuala Kedah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI