BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini melancarkan aplikasi MyVeteranMall yang memberi peluang kepada 300,000 veteran ATM untuk menceburi bidang keusahawanan digital.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata MyVeteranMall adalah inisiatif yang sesuai dan bertepatan untuk membantu usahawan veteran ATM mempromosi produk serta melakukan penjualan dan pembelian menerusi pelancaran pusat beli-belah secara maya itu.

"Keluarga Malaysia veteran ATM boleh menggunakan platform digital ini untuk meneroka potensi teknologi digital seperti e-Aktiviti, e-Dagang, e-Survei dan kemudahan ini adalah satu kelebihan yang dapat merapatkan jurang digital dalam kalangan veteran ATM.

"Saya berharap inisiatif ini akan memberi manfaat kepada semua pihak terlibat terutama kepada keluarga veteran ATM," katanya pada sidang media selepas pelancaran aplikasi MyVeteranMall di sini, hari ini.

Beliau berkata buat masa ini penyertaan MyVeteranMall yang dibangunkan dengan kerjasama MIDC Teknology Sdn Bhd terhad kepada veteran ATM dan akan dibuka kepada orang awam di masa depan.

DATUK Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz
DATUK Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz

Katanya setakat ini terdapat 505 penyertaan veteran ATM dalam MyVeteranMall yang melibatkan 605 pelbagai produk perniagaan di seluruh negara.

Turut hadir, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 4:42 PM