Ikmal (tengah) menyaksikan memorandum persefahaman kerjasama strategik antara Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dan UNIRAZAK yang ditandatangani oleh Amil Izham (kanan) dan Dzulkarnain Ahmad (kiri) di Wisma UNIRAZAK. FOTO GENES GULITAH
Ikmal (tengah) menyaksikan memorandum persefahaman kerjasama strategik antara Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dan UNIRAZAK yang ditandatangani oleh Amil Izham (kanan) dan Dzulkarnain Ahmad (kiri) di Wisma UNIRAZAK. FOTO GENES GULITAH
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 500 anak-anak veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang layak akan ditawarkan mengikuti Program Pengajian Asasi Sastera secara percuma setiap tahun.

Program ini dilaksanakan melalui kerjasama antara Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) menerusi memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Tun Abdul Razak Sdn Bhd (UNIRAZAK).

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, jaringan kerjasama strategik itu dilaksanakan untuk meningkatkan taraf pendidikan anak-anak veteran ATM.

"Menerusi program ini, yuran pengajian berjumlah RM12,500 untuk setiap anak veteran ATM dan pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak UNIRAZAK dengan persetujuan kerjasama bagi tempoh lima tahun sehingga 2026 membabitkan kos keseluruhan hampir RM16 juta.

"Pada masa sama, Yayasan Veteran ATM turut bersetuju untuk membantu membiayai caj pentadbiran sebanyak RM100 bagi setiap pelajar yang menyertai program pengajian ini.

"Bagi saya, peluang yang ditawarkan kepada anak-anak veteran ATM ini melambangkan keprihatinan Kementerian Pertahanan terhadap kebajikan veteran ATM khususnya dalam skop peningkatan pendidikan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani MoU antara JHEV ATM dan UNIRAZAK di Wisma UNIRAZAK, di sini, hari ini. Turut hadir Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah JHEV ATM Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif UNIRAZAK Amil Izham Hamzah mewakili jabatan serta universiti berkenaan.

Beliau berkata, program pengajian itu adalah antara inisiatif bagi membantu anak-anak veteran ATM untuk keluar daripada kepompong kemiskinan terutamanya mereka yang dalam kategori anak-anak asnaf veteran ATM atau kurang berkemampuan.

"Justeru itu, program pengajian yang ditawarkan kepada anak-anak veteran ATM ini mampu merealisasikan impian mereka kerana peningkatan pendidikan mampu mengubah latar ekonomi sesebuah keluarga dengan lahirnya modal insan yang lebih berjaya.

"Seiring dengan hasrat itu, peningkatan pendidikan juga dilihat mampu mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan lebih terjamin selain menikmati kehidupan baik pada masa hadapan," katanya.

Ikmal Hisham berkata, kerjasama strategik itu tidak akan terhenti dan akan menjadi program rintis yang boleh dijadikan panduan pada masa akan datang bagi mana-mana pusat pengajian lain dalam mengadakan kolaborasi strategik bersama Kementerian Pertahanan melalui JHEV ATM.

"Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan akan terus berusaha untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan hidup veteran ATM lebih terjamin.

"Kementerian akan terus berusaha untuk meneroka peluang-peluang lain yang boleh meningkatkan kualiti hidup veteran ATM di samping memperkasakan kesejahteraan dan taraf sosioekonomi keluarga mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 1:36 PM