IKMAL Hisham dalam sidang media selepas majlis perjumpaan dan berbuka puasa bersama persatuan veteran ATM. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
IKMAL Hisham dalam sidang media selepas majlis perjumpaan dan berbuka puasa bersama persatuan veteran ATM. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (Mindef) memperuntukkan sebanyak RM23 juta untuk Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri yang akan disalurkan pada Khamis ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, bantuan itu bukan saja untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malah veteran yang berpencen dan tidak berpencen termasuk balu.

Beliau berkata, sebanyak RM500 akan disalurkan kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.

"Manakala RM250 kepada veteran ATM berpencen dan balu yang akan memanfaatkan seramai 92,013 orang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perjumpaan, berbuka puasa dan ramah mesra Timbalan Menteri Pertahanan bersama persatuan-persatuan veteran ATM di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang.

Turut diadakan sesi dialog bersama 80 persatuan veteran ATM dari seluruh negara bagi mendapatkan input berkaitan permasalahan dan kebajikan golongan berkenaan.

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, Mindef sudah menyalurkan bantuan kebajikan kepada veteran ATM sebanyak RM427.03 juta sejak 2020 hingga kini.

Beliau berkata, kerajaan melalui Mindef sentiasa berusaha untuk mencari inisiatif baru dalam usaha memperkasakan warga veteran ATM.

"Penambahbaikan dan usaha untuk meningkatkan kualiti hidup warga veteran ATM sentiasa dilakukan.

"Ketika ini terdapat seramai 207,000 veteran ATM yang berdaftar dengan 121 persatuan.

"Dianggarkan lebih 100,000 veteran lagi tidak berdaftar dan golongan ini diminta berbuat demikian untuk mendapat manfaat yang kerajaan berikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 8:13 PM