Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Pertimbangan pemberian elaun kenangan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dilihat semakin positif.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, walaupun belum menerima sebarang keputusan rasmi tetapi beliau sentiasa mengadakan perbincangan bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menurutnya, perkara itu juga sudah dimajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang disifatkan amat memahami keperluan itu memandangkan pernah menjawat jawatan sebagai menteri kanan kementerian terbabit sebelum ini.

"(Pertimbangan) itu nampaknya agak positif, bagaimanapun kita tunggu keputusan rasmi daripada kerajaan," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Ikmal Hisham berkata, pihaknya memang memohon elaun itu diluluskan dan diberi secara bulanan namun disebabkan kekangan kewangan yang dialami kerajaan, elaun itu hanya diberikan secara 'one-off'.

Bagaimanapun untuk tahun lalu, elaun one-off itu tidak diterima oleh veteran ATM sebaliknya diagihkan kepada balu kakitangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

IKMAL Hisham memyematkan Anugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada Md Nor Yaacob. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
IKMAL Hisham memyematkan Anugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada Md Nor Yaacob. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Kita harapkan elaun yang sama akan diteruskan kepada veteran ATM serta balu terutama penerima pingat PJM," katanya.

Terdahulu beliau menyempurnakan majlis penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 700 veteran ATM peringkat Negeri Kelantan di sini.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 29,821 warga veteran ATM sudah menerima PJM manakala bagi veteran yang layak dan belum lagi dianugerahkan dilakukan pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 7:58 PM