Raja Noraina Raja Rahim


Gombak: Empat anggota penguat kuasa agensi kerajaan antara tujuh individu ditahan selepas disyaki terbabit kes samun minuman keras di Dengkil, Selangor pada Khamis lalu.

Keempat-empat mereka dipercayai membantu penjenayah dengan membocorkan maklumat lokasi penyimpanan minuman keras yang dirampas sebuah agensi penguatkuasaan, sebelum ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan mendapati tiga lelaki menaiki sebuah lori memasuki tempat simpanan terbabit pada 2.30 pagi.

"Suspek mengikat pengawal keselamatan sebelum memunggah minuman keras yang berada dalam sebuah lori di tempat simpanan itu ke dalam lori yang dibawa mereka.

"Proses pemunggahan mengambil masa kira-kira dua jam sebelum suspek membawa keluar barang kes berkenaan pada 5 pagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Bertindak atas laporan, Mazlan berkata, sepasukan polis menjalankan siasatan dan mendapat maklumat mengenai pembabitan orang dalam.

DATUK Seri Mazlan Lazim bersama pegawainya menunjukkan kes samun yang berjaya ditumpas pada sidang media. FOTO Hazreen Mohamad
DATUK Seri Mazlan Lazim bersama pegawainya menunjukkan kes samun yang berjaya ditumpas pada sidang media. FOTO Hazreen Mohamad

Beliau berkata, polis menahan empat anggota penguat kuasa berusia 25 hingga 49 tahun itu selepas disyaki memberikan maklumat kepada sindiket samun berkenaan.

"Hasil pemeriksaan terhadap mereka yang ditahan itu menemui dadah jenis pil captagon seberat dua kilogram, pil Erimin 5 (47 biji) dan kokain (4.9 gram) yang keseluruhannya berjumlah RM559,899.

"Selain itu, polis turut menemui penimbang elektronik, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM111,100 dalam kenderaan penguat kuasa terbabit," katanya.

Mazlan berkata, polis kemudian berjaya menahan dua lelaki lain iaitu pemandu dan kelindan lori serta merampas sebuah lori di tepi jalan di Shah Alam, Selangor, pada hari sama.

Menurutnya, pemeriksaan dalam lori berkenaan menemui 234 kotak minuman keras yang disyaki dilarikan dari tempat barang kes.

Katanya, kesemua suspek direman enam hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis kini giat mengesan seorang lagi suspek disyaki dalang utama kejadian itu yang masih bebas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 2:37 PM