Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Kegiatan penyanyi nasyid yang juga komposer muzik menanam dan memproses pokok ganja terbongkar selepas kediamannya di kondominium di Kota Damansara, di sini, diserbu, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, serbuan di lokasi terbabit pada 5.30 petang itu membawa kepada penahanan lelaki berusia 47 tahun.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menemui 13 pokok dalam pasu disyaki pokok ganja di bahagian bawah sebelah kanan almari di dalam salah sebuah bilik.

"Kami turut menemui satu lagi pokok dalam pasu disyaki ganja di balkoni rumah dan tiga lagi pokok ganja di dalam almari baju," katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya turut menemui satu bekas plastik di atas kabinet dapur mengandungi dua plastik lut sinar ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram.

"Keseluruhan dadah yang dirampas termasuk 17 pokok ganja terbabit dianggarkan bernilai RM40,700 yang boleh dibekalkan kepada 214 penagih.

Polis turut menyita sebuah kereta serta sejumlah wang tunai.

MOHAMAD Fakrhrudin bersama pegawainya menunjukkan pokok ganja yang dirampas. FOTO Hazreen Mohamad
MOHAMAD Fakrhrudin bersama pegawainya menunjukkan pokok ganja yang dirampas. FOTO Hazreen Mohamad

"Kami turut merampas satu botol cecair pemusnah serangga, satu alat pengukur, kandungan PH air, satu alat penyukat suhu, tujuh lampu, satu alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan, satu pasport serta kad pengenalan milik suspek serta satu rangkai kunci," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan ganja kering di sekitar daerah ini.

"Suspek dipercayai menanam pokok ganja berkenaan dengan membeli sendiri benih dan belajar menanamnya melalui media sosial sejak dua bulan lalu.

"Berdasarkan pengakuan suspek, pokok ganja itu ditanam untuk kegunaan sendiri. Kami masih menyiasat dari mana suspek memperoleh bekalan benih berkenaan," katanya.

Katanya, hasil ujian saringan awal suspek mendapati dia positif ganja dan mempunyai sejarah penagihan dadah sejak 10 tahun lalu.

"Semakan dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 31 Mac nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 5:46 PM