Amir Abd Hamid


Serdang: Bekas pemandu e-hailing ditahan dan dadah bernilai lebih RM6.38 juta dirampas dalam serbuan di sebuah makmal dadah haram di kawasan kilang perindustrian kecil dan sederhana (SME) di Seri Kembangan, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata serbuan dilakukan kira-kira 7 malam.

Beliau berkata, suspek berusia 44 tahun itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan memproses dadah itu sejak setahun lalu.

"Dipercayai pendapatannya boleh mencecah RM15,000 dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

"Difahamkan pemprosesan 10 kilogram bahan-bahan membuat dadah atau serbuk dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA)) itu boleh menghasilkan 50,000 biji dadah ekstasi," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran Lembah Klang dan mampu menampung sekitar 410,000 penagih.

"Dipercayai suspek belajar membuat dadah melalui YouTube dan suspek juga dipercayai mahu pendapatan lebih mewah berbanding pekerjaannya pemandu e-hailing sebelum ini.

A A Anbalagan bersama pegawainya menunjukkan hasil rampasan pelbagai jenis dadah berjumlah RM 6.38 juta pada sidang media di IPD Serdang. FOTO HAZREEN MOHAMAD
A A Anbalagan bersama pegawainya menunjukkan hasil rampasan pelbagai jenis dadah berjumlah RM 6.38 juta pada sidang media di IPD Serdang. FOTO HAZREEN MOHAMAD

"Suspek yang berasal dari Subang, Selangor memiliki satu kes kesalahan lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil ujian urin terhadapnya mendapat suspek negatif dadah," katanya.

Menurutnya, turut dirampas ialah tiga kotak mengandungi 47 peket plastik disyaki MDMA (anggaran berat 70,719 gram), 16 bekas plastik lutsinar berisi bahan disyaki MDMA (anggaran berat 52,330 gram), sepeket plastik lutsinar disyaki syabu (anggaran berat 504 gram), 18 botol plastik berisi serbuk disyaki dadah (301.87 gram), tiga peket plastik kecil mengandungi 21 biji pil ektasi dan sepeket plastik lutsinar mengandungi ceraian dedaun kering disyaki ganja (anggaran berat 13.8 gram).

Katanya, turut dirampas tiga mesin dan beberapa peralatan digunakan untuk memproses dadah.

Beliau berkata, suspek ditahan reman tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 di mana pihak polis sudah menyita dua kenderaan iaitu Toyota Hilux dan van penghantaran jenis Nissan NV20 yang dianggarkan bernilai RM170,000 serta wang tunai berjumlah RM10,000.

"Polis percaya ada lagi suspek masih bebas dalam sindiket ini dan siasatan mengenainya masih dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 12:23 PM