Norizuan Shamsuddin


CUKUR rambut bagi mengelak daripada dikesan polis. Tindakan itu dilakukan lelaki yang membelasah wanita di dalam lif dekat Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, Khamis lalu selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian itu tular media sosial.

Bagaimanapun, taktik digunakan suspek berusia 26 tahun terbabit gagal apabila polis menyerbu kediamannya di Taman Cheras, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras susulan laporan berhubung kes samun wanita berkenaan.

Katanya, sewaktu serbuan suspek didapati sedang mencukur rambut di dalam kediaman berkenaan.

“Pemeriksaan dilakukan turut menemui baju digunakan suspek sewaktu kejadian dan motosikal Modenas Kriss dinaiki bagi melarikan diri.

“Polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah dilakukan suspek antaranya 19 telefon pintar, pelbagai jenis kad bank, kad Touch n Go dan peralatan disyaki digunakan bagi kegiatan pecah premis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, hasil soal siasat dilakukan suspek mengaku terbabit dalam lapan kes jenayah membabitkan ragut, samun, dan pecah pejabat di sekitar daerah Cheras.

Beliau berkata, suspek didapati mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan kes mendatangkan kecederaan dengan senjata, samun berkawan, memiliki dan menagih dadah.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ekstasi dan syabu.

“Suspek bekerja sebagai juru servis penghawa dingin didapati aktif melakukan kegiatan jenayah sejak 2014 disyaki bagi menampung perbelanjaan untuk mendapatkan dadah.

“Suspek memang seorang penjenayah yang 'brutal' yang bertindak secara solo.

“Pada hari sama kejadian belasah wanita dalam lif terbabit, suspek didapati melakukan jenayah samun kedai serbaneka di Cheras pada 6.40 pagi," katanya.

Mazlan berkata, semakan mendapati suspek terbabit dalam kegiatan kongsi gelap yang aktif di Klang, Selangor.

Beliau berkata, pada bahagian badannya terdapat tatu lambang kongsi gelap Geng 08.

Katanya, suspek direman selama tujuh hari sehingga 25 Februari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379, Seksyen 392, Seksyen 394 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Direman seminggu

[UPDATE] Suspek belasah dalam lif ditahan

Suspek samun dalam lif MRT dikenal pasti

Ganjaran RM10,000 buru penyamun MRT

Belasah, samun dalam lif [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 5:13 PM
MAZLAN (tiga dari kanan) menunjukkan baju dipakai suspek dalam kejadian belasah dan samun wanita di dalam lif, Khamis lalu, pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Norizuan Shamsuddin.
MAZLAN (tiga dari kanan) menunjukkan baju dipakai suspek dalam kejadian belasah dan samun wanita di dalam lif, Khamis lalu, pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Norizuan Shamsuddin.