ANBALAGAN menunjukkan suspek kes samun rogol pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Serdang, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad
ANBALAGAN menunjukkan suspek kes samun rogol pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Serdang, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad
Muhaamad Hafis Nawawi


Serdang: Lelaki warga Pakistan yang dipercayai terbabit kes samun dan rogol seorang wanita pada Ahad lalu, ditahan selepas kelibatnya melarikan diri selepas melakukan jenayah itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Lelaki berusia berusia 23 tahun itu ditahan di sebuah kondominium di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, di sini, jam 8.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, terdahulu, polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 29 tahun mendakwa dirogol dan disamun seorang lelaki ketika melalui jejantas Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang, Ahad lalu.

Katanya, dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, mangsa yang baharu seminggu bekerja sebagai promoter sambilan di sebuah pusat beli belah di Putrajaya dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan Dagang, Sungai Besi.

"Mangsa mendakwa dihampiri lelaki tidak dikenali di atas jejantas berkenaan sebelum dirogol dan telefon bimbitnya disamun, selain turut diacukan pisau.

"Hasil siasatan dan penelitian rakaman CCTV di lokasi berhampiran, polis menahan seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan," katanya pada sidang media di IPD Serdang, di sini, hari ini.

Anbalagan berkata, siasatan juga mendapati suspek akan membawa pin yang mana dia akan meminta mangsa membuka telefon bimbit menggunakan alat itu untuk membuang kad sim.

ANBALAGAN bersama pegawainya menunjukkan barang kes samun rogol dan pecah rumah pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Serdang. FOTO Hazreen Mohamad
ANBALAGAN bersama pegawainya menunjukkan barang kes samun rogol dan pecah rumah pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Serdang. FOTO Hazreen Mohamad

Katanya, mangsa juga turut diarahkan untuk set semula (reset) telefon bimbit berkenaan.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang lagi rakan senegaranya berusia 29 tahun yang dipercayai rakan sejenayah dalam satu lagi kejadian samun pada 30 Disember lalu.

Katanya, kejadian itu menyebabkan seorang wanita berusia 20 tahun kerugian dua telefon bimbit dan mengalami kecederaan di jari kanan.

Anbalagan berkata, kedua-dua suspek tidak bekerja yang mana semakan mendapati suspek pertama masuk ke negara ini sejak Ogos tahun lalu sementara suspek kedua sudah enam bulan berada di negara ini.

Beliau berkata, suspek mengaku terbabit dalam kedua-dua kejadian terbabit dan kes disiasat mengikut 392/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) )c) Akta Imigresen 1959/63.

"Suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 22 Januari ini bagi membantu siasatan.

"Polis meminta orang awam yang pernah menjadi mangsa samun kepada suspek ini untuk membuat laporan polis dan sekiranya mempunyai maklumat mengenai individu yang mencurigakan boleh memberi maklumat kepada kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 2:50 PM