Lima nelayan yang berjaya diselamatkan selepas bot mereka bocor dan tenggelam di kedudukan sembilan batu nautika barat laut dari muara Kuala Kedah. FOTO IHSAN Maritim Malaysia
Lima nelayan yang berjaya diselamatkan selepas bot mereka bocor dan tenggelam di kedudukan sembilan batu nautika barat laut dari muara Kuala Kedah. FOTO IHSAN Maritim Malaysia
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Lima nelayan terselamat selepas bot nelayan tempatan dinaiki mereka mengalami kebocoran sebelum tenggelam di kedudukan sembilan batu nautika di barat laut muara Kuala Kedah, 3.40 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi kemudian mengaktifkan Operasi Carilamat dan mengatur gerak bot Penggalang 35 ke lokasi pencarian pada 6.30 pagi semalam.

Beliau berkata, bagaimanapun, kesemua nelayan terbabit ditemukan 8.05 pagi, selepas mereka berjaya diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan yang berada di sekitar lokasi pencarian.

Katanya, kesemua mereka berusia antara 34 hingga 39 tahun.

"Kelima-lima nelayan terbabit kemudian dipindahkan ke bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia (APMM) dan dibawa pulang ke Jeti Batang Pinang, Kuala Kedah setelah pemeriksaan lanjut dilaksanakan.

"APMM khususnya Zon Maritim Kuala Kedah mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut supaya mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

"Zon Maritim Kuala Kedah juga memohon orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 8:51 AM