Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menamatkan operasi carilamat bagi mengesan mangsa bot karam dalam kejadian yang didakwa berlaku di perairan Batu Putih selepas tiada sebarang bukti kejadian ditemukan.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan panggilan yang diterima Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru adalah panggilan palsu.

Beliau berkata, mengikut panggilan itu, bot membawa 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) dilaporkan karam pada kedudukan 9.5 batu nautika tenggara Tanjung Penyusop di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru dimaklumkan kejadian itu berlaku pada jam 4 pagi.

"Aduan diterima daripada pengadu yang juga warga Indonesia mendakwa dia bersama sembilan lagi warga negara itu berada dalam bot pancung dan ia karam di sekitar perairan Batu Putih.

"Berikutan itu, pihak MRSC Johor Bahru mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada jam 4.05 pagi tadi dengan mengatur gerak sebuah kapal dan bot ronda milik Maritim Malaysia ke lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga jam 7.30 petang tiada sebarang penemuan atau bukti berlakunya bot karam.

Menurutnya, pemantauan dan pencarian itu dilakukan di lokasi dengan keluasan 26.52 batu nautika persegi.

Katanya, pihak berkuasa Singapura dan Indonesia juga tidak melaporkan sebarang kejadian bot karam seperti yang diterima MRSC Johor Bahru.

"Susulan itu operasi berkenaan ditamatkan pada jam 7.30 petang namun pemantauan di lokasi akan diteruskan oleh aset Maritim Malaysia yang melakukan rondaan penguatkuasaan di laut.

"Kita tidak menolak kemungkinan panggilan yang diterima adalah panggilan palsu dan kami akan bekerjasama dengan pihak polis dan konsulat Indonesia bagi mengesan individu yang membuat laporan berkenaan.

"Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat atau aduan mengenai jenayah rentas sempadan di laut ke talian kecemasan MERS 999 atau talian pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9401," katanya.

Berita berkaitan

Bot membawa 10 penumpang karam di perairan Batu Putih?

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 10:20 PM