Calvin hilang ketika menyelam di perairan Sungai Besar semalam. Foto Ihsan APMM
Calvin hilang ketika menyelam di perairan Sungai Besar semalam. Foto Ihsan APMM
Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Besar: Penyelam hilang ketika menyelam untuk mengikat tali pada sebuah bot di perairan Sungai Besar di sini, semalam.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, Calvin Patrick Lazaroo, 27, dikatakan menyelam bersama tiga rakannya untuk menarik bot sebuah syarikat yang karam pada 22 Julai lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, kehilangan mangsa disedari rakannya yang bertindak melakukan pencarian di sekitar kawasan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, pencarian selama empat jam itu gagal menyebabkan mereka menghubungi Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bharu untuk tindakan lanjut.

"MRSC Johor Bharu mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) pada 2.20 petang dan mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Nyalau yang sedang beroperasi ke lokasi kejadian.

"Sehingga 7.30 malam tadi, mangsa masih belum ditemui dan dipercayai tenggelam berhampiran posisi yang dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohammad Rosli berkata, CARILAMAT ditangguhkan pada 7.30 malam berikutan faktor penglihatan terhad pada waktu malam dan cuaca buruk.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebuah pangkalan hadapan CARILAMAT akan ditubuhkan di Jeti Perikanan Sungai Besar.

"Fokus pencarian esok berkeluasan 148.83 batu nautika persegi di Perairan Sungai Besar.

"Agensi terbabit dalam pencarian ini adalah APMM, Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan komuniti nelayan setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 12:04 AM