Petugas SPR menurunkan kain rentang selepas tamat masa mengundi pada PRN Melaka di Pusat Mengundi SMK Cannosa Convent, Melaka. Foto Syafeeq Ahmad
Petugas SPR menurunkan kain rentang selepas tamat masa mengundi pada PRN Melaka di Pusat Mengundi SMK Cannosa Convent, Melaka. Foto Syafeeq Ahmad
Nazri Abu Bakar

Melaka: Proses mengundi yang ringkas, mudah dan selamat. itu antara maklum balas diperoleh daripada orang ramai selepas mereka menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.

Walaupun menunaikan tanggungjawab mereka dalam keadaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, namun semua pengundi mematuhi peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagi Hazizi Mohd Rani, 28, pandangan awalnya bahawa proses pengundian mungkin menyulitkan, namun selepas melaluinya bermula di pintu masuk, pemeriksaan suhu badan, semakan saluran mengundi dan ke bilik mengundi mendapatinya amat lancar dan selamat.

"Laluan masuk, keluar yang jelas dan sistematik juga memberi keselesaan untuk orang ramai mengundi.

"Kebimbangan orang ramai untuk keluar mengundi seharusnya tidak berlaku kerana semuanya terkawal walaupun pelbagai pandangan awal yang curiga dan bimbang," katanya.

Menurutnya, pujian juga harus diberikan kepada SPR yang berjaya mengendalikan perjalanan pengundian dengan tersusun dan baik.

"Kami mengharapkan tiada kluster baharu selepas pengundian hari ini termasuk ketika berkempen sebelum ini," katanya yang mengundi di Sekolah Agama Jabatan Agama Islam (JAIM) Paya Datuk, Alor Gajah.

Sementara itu, Mohd Ammar Mohd Puad, 28, berkata dia juga gembira kerana warga emas dan orang kurang upaya (OKU) juga dibantu dalam semua aspek sehingga ke tempat mengundi.

"PRN Melaka wajar menjadi contoh kepada PRN negeri lain atau pilihan raya umum kelak," katanya.

Bagi Petugas SPR di Sekolah Kebangsaan Simpang Empat, Idham Ramli, 20, SOP terkawal dipantau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi keselamatan serta semua petugas.

"Saya juga gembira dapat berkhidmat buat kali pertama, sekali gus berbakti kepada orang ramai dan masyarakat," katanya.

Untuk maklumat dan perkembangan terkini PRN Melaka, sila layari https://www.myundi.com.my/

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 7:00 PM