CALON P107 Sungai Buloh, Khairy Jamaludin Abu Bakar  meluangkan masa bertemu orang ramai di Kota Damansara. FOTO HAZREEN MOHAMAD
CALON P107 Sungai Buloh, Khairy Jamaludin Abu Bakar meluangkan masa bertemu orang ramai di Kota Damansara. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Sudirman Mohd Tahir


Image

Sungai Buloh: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengeluar dan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin berkata, SPR bakal mengumumkan perkara itu termasuk orang ramai yang positif Covid-19 juga masih boleh keluar mengundi.

"Kita (KKM) sudah keluar dan maklumkan pada SPR. Apa yang penting adalah pengundi positif Covid-19 boleh keluar mengundi. Kita tak mahu mereka berada di tempat pusat mengundi terlalu lama.

"Jadi, KKM sudah mencadangkan kepada SPR supaya mereka mendaftar dan memaklumkan kepada pegawai kesihatan yang ditempatkan di pusat mengundi bahawa mereka Covid-19 dengan tunjuk bukti aplikasi MySejahtera digital dan mereka akan dibawa terus ke bilik mengundi.

"Mereka tidak diasingkan lokasi, tapi masih mengundi di tempat sama cuma tidak perlu beratur. Sebaliknya terus dibawa masuk, mengundi dan selepas itu keluar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bersarapan bersama pengunjung di sebuah kedai makan di Kota Damansara, sempena siri aktiviti kempen PRU-15, Parlimen Sungai Buloh, di sini, pada pagi, hari ini.

Menurutnya, beliau juga sudah memaklumkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk menambah bilangan pegawai kesihatan di pusat mengundi.

"Memandangkan 'trend' jangkitan sekarang lebih kurang 3,000 hingga 4,000 kes sehari, jadi untuk tempoh masa dua minggu itu, mungkin dalam 50,000 orang positif. Kalau kita bahagikan kepada 222 kawasan parlimen, jadi jumlah itu tidaklah ramai sangat. Itu kita ambil andaian dalam tempoh masa berkenaan.

"Saya sudah memaklumkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk menyediakan pegawai kesihatan tambahan yang boleh membawa pengundi ke bilik mengundi dengan cepat dan terus balik. Nanti SPR akan mengumumkan mekanisma itu," katanya.

Beliau berkata, peningkatan kes harian masih terkawal berdasarkan data kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital.

"Setakat ini kita melihat kepada kemasukan ke hospital, melihat sama ada peningkatan ini ada kaitan dengan gejala lebih teruk. Tapi setakat ini terkawal, macam bulan Januari membabitkan varian Omicron.

"Walaupun kes naik tapi kemasukan ke hospital tidak tinggi. Kadar kematian pun sangat rendah. Jadi Kita anggap ia gelombang jangkitan tapi tak berapa teruk. Pun begitu setiap hari saya memantau dan sekiranya ada keperluan untuk ubah strategi kita, saya akan maklumkan kepada orang ramai nanti," katanya.

Sebanyak 4,619 kes baharu Covid-19 direkodkan dengan dua daripadanya adalah kes import.

Menurut data KKM di portal KKMNOW, sebanyak satu kes kematian baharu akibat Covid-19 turut dicatatkan.

Justeru, laporan Covid 19 yang dikemas kini laman sesawang kementerian kesihatan itu sehingga tengah malam tadi, jumlah kematian dalam negara kini mencatatkan 36,482 kes.

Sementara itu, kes aktif Covid-19 pula mencatatkan sebanyak 36,582 kes, dengan 34,907 atau 95.4 peratus daripadanya adalah individu dikuarantin di rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 12:01 PM