MAHFUZ Roslan (kiri) bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. FOTO ihsan Pemuda PAS
MAHFUZ Roslan (kiri) bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. FOTO ihsan Pemuda PAS
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Pemuda PAS Negeri Sembilan menggesa kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperketatkan penjualan minuman keras melalui garis panduan dan syarat permohonan.

Ketua Pemudanya, Mahfuz Roslan berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan mengucapkan tahniah atas ketegasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memperketatkan penjualan minuman keras melalui garis panduan dan syarat permohonan lesen minuman keras Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkuatkuasa 1 November lalu,

Malah langkah sama turut dilakukan Majlis Daerah Selama (MDS) berhubung larangan jualan arak secara runcit termasuk premis perniagaan secara terbuka bermula Januari tahun depan.

"Tindakan ini wajar dicontohi kerajaan Negeri Sembilan. Walaupun begitu Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan memahami penduduk di Negeri Sembilan mempunyai pelbagai kaum dan agama.

"Namun ketegasan ini wajar diambil oleh kerajaan negeri atas beberapa faktor, antaranya dari sudut kesihatan. Semua doktor pakar dan kajian tersohor menunjukkan arak mendatangkan kemudaratan yang amat teruk terhadap kesihatan manusia," katanya tadi.

Menurutnya, statistik menunjukkan arak adalah punca utama kepada lebih 200 jenis penyakit, kecederaan organ dalaman malah turut menjadi punca penyakit kanser.

"Sebagai umat Islam yang beriman dengan hari Akhirat, kita sepatutnya lebih tegas dalam perkara-perkara yang boleh membinasakan manusia, kerana arak itu lebih banyak kerosakannya berbanding kebaikannya seperti firman Allah dalam Al-Quran.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan percaya, jika langkah tegas ini diambil oleh kerajaan Negeri Sembilan, rakyat di Negeri Sembilan pasti akan menyambut baik ketegasan ini dan dalam masa yang sama masalah jenayah akan menurun dan masalah sosial pasti akan berkurang," ujarnya.

Mahfuz berkata, untuk permulaan, Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan mencadangkan langkah itu dimulai dengan kawasan didiami majoriti Muslim antaranya DUN Sikamat, DUN Ampangan dan DUN Lenggeng.

"Sebagai kerajaan yang dipimpin oleh seorang Islam, perkara di atas perlulah dijadikan dasar dalam mentadbir kerajaan negeri, agar Negeri Sembilan ini sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT.

"Pemuda PAS Negeri Sembilan yakin perubahan ini (larangan penjualan arak secara terbuka) dilakukan, pastinya mendapat sambutan keseluruhan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 12:47 PM