GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kajang: Polis menahan lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dipercayai untuk melindungi dirinya dalam perselisihan faham mengenai isu sewa rumah di Taman TTDI Grove, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek berusia 30-an direman tujuh hari sehingga 22 Oktober untuk siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967.

Menurutnya, pada 2.29 pagi Sabtu, pihaknya menerima maklumat mengenai pertengkaran yang berlaku di kawasan berkenaan berhubung isu sewa rumah.

"Kejadian dapat dileraikan orang awam yang berada di situ dan suspek yang berada di situ mengaku dirinya seorang anggota polis dipercayai untuk melindungi dirinya (daripada diapa-apakan).

"Oleh kerana curiga dengannya, saksi kejadian kemudian menghubungi polis untuk hadir ke lokasi dan melakukan siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, hasil pemeriksaan anggota unit peronda di tempat kejadian mendapati lelaki itu bukanlah anggota polis dan dia hanya menggunakan kad kuasa yang palsu.

"Susulan itu, suspek ditahan dan siasatan lanjut menemui beberapa peralatan polis termasuk seragam operasi polis yang tertera nama suspek, kasut, tali pinggang dan satu unit gari selain kad kuasa polis yang dirampas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 12:24 PM