GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Kajang: Polis menahan dua lelaki warga tempatan selepas dipercayai terbabit dalam kes pecah kedai di Puchong Jaya pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kedua-dua suspek ditahan di lokasi kejadian selepas polis menyerbu kawasan berkenaan pada 4 petang hari sama.

"Polis berjaya menemukan semula barang yang dicuri mereka. Kedua-dua suspek berusia lingkungan 40-an itu mengaku melakukan jenayah pecah kedai di sekitar daerah ini.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Kajang untuk tindakan serta siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Zaid berkata, pihaknya berjaya menahan lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di Taman Kajang Prima semalam.

"Suspek berusia 29 tahun itu ditahan bersama beg galas yang mengandungi barangan yang dicuri dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Polis merampas barangan curi bernilai RM24,000 dan tangkapan akan disiasat mengikut 457 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan jenayah pecah rumah dengan niat mencuri,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 3:08 PM