Tertuduh seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Wan Azmany Wan Ali @ Wan Abdul Aziz, 46, mengaku tidak bersalah terhadap 38 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM14,950, antara 2017 hingga 2021 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Tertuduh seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Wan Azmany Wan Ali @ Wan Abdul Aziz, 46, mengaku tidak bersalah terhadap 38 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM14,950, antara 2017 hingga 2021 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Omar Ahmad


Johor Bahru : Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah terhadap 38 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM14,950, antara 2017 hingga 2021 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, hari ini.

Tertuduh, Wan Azmany Wan Ali @ Wan Abdul Aziz, 46 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bertugas sebagai Pembantu Kastam Kanan Gred WK22 di JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menerima suatu benda berharga dengan tiada balasan iaitu wang tunai bernilai antara RM100 hingga RM 3,000 daripada pemilik ejen perkhidmatan pengangkutan kargo, Kalos Enterprise, J.Jehatis ke akaun peribadi miliknya.

Ia sebagai balasan melancarkan urusan pemilik ejen perkhidmatan pengangkutan kargo berkenaan yang mempunyai perhubungan dengan kerja rasmi seseorang penjawat awam iaitu Pengarah JKDM KLIA yang mana di bawahnya tertuduh bekerja.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah cawangan bank di Taman Kebun Teh di sini antara 27 Mac 2017 hingga 2 September 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala tertuduh diwakili peguam Jamaludin Abdul Jalil.

Muhammad Asraf dalam hujahannya memohon jaminan sebanyak RM30,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan.

Namun, Jamaludin dalam pembelaannya memohon mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan yang diminta pihak DPP kerana Wan Azmany mempunyai penyakit buah pinggang kronik sejak 2019 dan perlu menjalani rawatan itu sepanjang hayat, malah buah pinggang tertuduh sebelah kiri juga sudah dibuang menerusi pembedahan pada tahun sama.

Tertuduh yang kini bertugas di bahagian cukai juga berkemungkinan berdepan tindakan gantung tugas, turut menanggung isteri yang bekerja, lima anak yang masih belajar di peringkat rendah, menengah dan universiti berusia antara sembilan hingga 20 tahun, selain menanggung dua ibu tiri berusia 62 dan 64 tahun di Kelantan.

Jamaluddin memohon jaminan sebanyak RM5,000 untuk kesemua pertuduhan.

Mahkamah kemudian menetapkan RM5,000 jaminan dengan seorang penjamin warga tempatan.

Sebutan kes ditetapkan pada 9 Julai depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 2:01 PM