MPI bersama penaja pada majlis meraikan para penyumbang Malam Wartawan Malaysia MPI 2024 hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
MPI bersama penaja pada majlis meraikan para penyumbang Malam Wartawan Malaysia MPI 2024 hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
BERNAMA

Petaling Jaya: Malaysian Press Institute (MPI) menerima sumbangan berjumlah RM1,066,500 bagi penganjuran majlis Malam Wartawan Malaysia (MWM) dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) yang akan berlangsung pada 7 Jun ini.

Presidennya Datuk Yong Soo Heong berkata, daripada jumlah itu RM616,500 adalah sumbangan daripada 52 organisasi manakala RM450,000 disumbangkan oleh Petronas.

"Syukur tahun ini, sumbangan kewangan yang diterima oleh MPI meningkat RM141,500 berbanding tahun lepas," katanya pada Majlis Meraikan Penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2024, di sini, hari ini.

Yong yang juga bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata, selaku penaja utama HKM sejak 1994, Petronas menyumbang RM450,000 mulai tahun ini berbanding RM300,000 sebelum ini.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada tajaan RM1,350,000 dari Petronas untuk tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Yong berkata, tanpa Petronas, majlis yang sudah berusia 43 tahun itu tidak mungkin berlaku dan penglibatan syarikat minyak dan gas itu memberi suntikan semangat kepada wartawan tempatan untuk menampilkan dan mempertingkatkan mutu pelaporan, sesuai dengan matlamat penganjuran HKM untuk mengiktiraf karya-karya kewartawanan terbaik.

Penaja lain termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menyumbang RM150,000 manakala Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank), Grab Malaysia, Puspakom Sdn Bhd dan Sarawak Energy Bhd masing-masing menyumbang RM20,000.

Selain itu, 22 organisasi korporat masing-masing menyumbang RM10,000 antaranya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Ambank Group, UEM Sunrise Bhd, Padi Beras Nasional Bhd, Lembaga Tabung Haji, PLUS Malaysia Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd dan Pembangunan Sumber Manusia Bhd.

MPI turut menerima sumbangan masing-masing berjumlah RM7,500 antaranya daripada Top Glove Corporation Bhd, Prasarana Malaysia Bhd, Malakoff Corporation Bhd, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd, IOI Properties Group Bhd dan enam lagi syarikat korporat lain.

Bagi HKM 2023, Yong berkata, pengamal media boleh tersenyum lebar apabila 23 kategori dipertandingkan dengan pengenalan enam kategori baharu iaitu Kewartawanan Alam Sekitar, Sosial dan Korporat (ESG) Terbaik, Bicarawara Video Terbaik, Lintas Langsung Berita Video Terbaik, Dokumentari Radio Terbaik, Bicarawara Radio Terbaik dan Lintas Langsung Berita Radio Terbaik.

Beliau berkata, HKM 2023 mencatatkan penyertaan tertinggi diterima MPI sejak diperkenalkan pada tahun 1980 dengan unjuran kenaikan 21 peratus atau 488 penyertaan berbanding 386 yang diterima tahun sebelumnya.

"Penyertaan tertinggi diterima daripada kategori Berita Video Terbaik dengan 65 penyertaan, diikuti Kewartawanan Foto Terbaik dengan 44 penyertaan dan Laporan Berita Terbaik, 37 penyertaan.

"Senarai nama pemenang akan diumumkan pada 7 Jun nanti pada Malam Wartawan Malaysia 2024," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 1:41 PM