GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kajang: Polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah Perodua Myvi selepas cuba melarikan diri dari pemeriksaan dan hampir merempuh anggota polis bertugas dalam kejadian di Bandar Sungai Long, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian kira-kira jam 2 pagi itu berlaku ketika tiga anggota yang sedang membuat rondaan cegah jenayah cuba menahan pemandu kenderaan itu yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, bagaimanapun suspek memecut laju kenderaan selepas diarahkan berhenti dan anggota bertugas segera mengejar suspek sekitar tiga kilometer (km).

"Ketika cuba mengejar suspek, kenderaan dinaiki suspek beberapa kali cuba menghimpit anggota yang menaiki motosikal.

"Setibanya di jalan mati, suspek tetap enggan memberhentikan kenderaan dan membuat pusingan U lalu cuba merempuh ketiga-tiga anggota polis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaid berkata, bagi mempertahankan diri anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta dinaiki namun suspek berjaya meloloskan diri.

"Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang melakukan pencarian dan berjaya menahan seorang lelaki warga asing dan seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan di sekitar Bandar Sungai Long semalam.

"Beberapa individu masih dikesan untuk membantu siasatan dan polis akan membuat permohonan reman ke atas kedua-dua suspek di Mahkamah Kajang hari ini," katanya.

Katanya, hasil penahanan suspek polis merampas kenderaan jenis Perodua Myvi warna merah yang mempunyai kesan tembakan, disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 10:19 AM