MD SYAHRUL Efendi didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan memukul isterinya menggunakan batang penyapu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MD SYAHRUL Efendi didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan memukul isterinya menggunakan batang penyapu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Lelaki orang kurang upaya (OKU) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, tadi, atas pertuduhan memukul isterinya menggunakan batang penyapu pada 10 Mei lalu.

Tertuduh, Md Syahrul Efendi Muhamad, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan isteri, Noraziati Mohd Rebuih, 37, dengan menggunakan batang penyapu.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Berhala Banggu di sini, pada jam 10 pagi, 10 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nurie Ab Rahman.

Terdahulu, Ahmad Nurie memohon jaminan RM7,000 ditawarkan memandangkan tertuduh adalah pemegang kad OKU dan hanya bekerja sebagai pembantu kedia runcit milik ibunya, manakala Ahmad Faiz Fitri memohon jaminan RM10,000 ditawarkan.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 2:02 PM